
Tentera rejim Zionis terus melancarkan serangan udara, bedilan artileri dan kempen pemusnahan di beberapa kawasan di semenanjung Gaza pada Ahad, mengakibatkan lebih ramai rakyat Palestin syahid dan cedera apabila kawasan penempatan awam dari utara hingga selatan Gaza terus menjadi sasaran.
Di bandar Gaza, sebuah dron rejim Zionis melepaskan tiga peluru berpandu ke arah sebuah bengkel besi berhampiran persimpangan al-Saraya, mengorbankan sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin. Pasukan pertahanan awam dan ambulans segera dikerahkan ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa serta membawa mereka ke hospital.
Serangan turut dilaporkan di beberapa kawasan sekitar bandar Gaza dan kem pelarian Jabaliya. Pada masa sama, bedilan artileri berterusan menyasarkan timur Deir al-Balah dan kem pelarian al-Bureij, manakala serangan udara serta bedilan artileri turut dilancarkan ke beberapa kawasan di Khan Yunis, selatan Gaza.
Agensi berita rasmi Palestin, WAFA melaporkan rejim Zionis turut melancarkan kempen pemusnahan besar-besaran terhadap kawasan perumahan di Qizan al-Najjar, selatan Khan Yunis. Di Qizan Rashwan pula, tentera rejim Israel dilaporkan membedil kawasan kediaman penduduk secara berterusan.
Sumber Palestin memaklumkan serangan berterusan itu telah meningkatkan jumlah korban dalam kalangan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan kediaman serta harta benda penduduk.
Peningkatan serangan itu berlaku ketika rejim Zionis terus memperhebat operasi ketenteraan di seluruh semenanjung Gaza meskipun rundingan gencatan senjata masih berlangsung. Penduduk di beberapa kawasan juga terus dipaksa berpindah berulang kali susulan pengeboman berterusan yang menyasarkan kawasan kediaman dan infrastruktur awam.
Sumber: The Palestine Chronicle