.png)
Ribuan anggota daripada Divisyen Airborne ke-82 Tentera Darat Amerika Syarikat (AS) telah mula tiba di Asia Barat, menurut dua pegawai AS kepada Reuters pada Isnin, ketika Presiden AS, Donald Trump sedang mempertimbangkan langkah seterusnya dalam perang terhadap Iran.
Reuters sebelum ini melaporkan pada 18 Mac bahawa pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk menghantar ribuan lagi tentera AS ke Asia Barat sebagai satu langkah yang akan memperluas pilihan termasuk kemungkinan penempatan pasukan AS di dalam wilayah Iran.
Pasukan payung terjun yang berpangkalan di Fort Bragg, North Carolina tersebut menyertai ribuan lagi anggota tentera laut, Marin dan pasukan Operasi Khas yang telah dihantar ke rantau berkenaan. Pada hujung minggu lalu, kira-kira 2,500 anggota Marin tiba di Asia Barat.
Pegawai yang enggan dikenali itu tidak menyatakan lokasi tepat penempatan pasukan, namun langkah ini telah dijangka. Penambahan anggota tentera darat ini merangkumi elemen ibu pejabat Divisyen Airborne ke-82, sokongan logistik serta satu briged tempur.
Setakat ini, tiada keputusan dibuat untuk menghantar tentera ke Iran, namun penempatan ini bertujuan meningkatkan keupayaan kemungkinan operasi masa depan di rantau tersebut, menurut salah satu sumber.
Pasukan ini boleh digunakan untuk beberapa tujuan dalam perang terhadap Iran, termasuk kemungkinan usaha merampas Pulau Kharg, yang merupakan hab bagi 90% eksport minyak Iran.
Awal bulan ini, Reuters melaporkan terdapat perbincangan dalam pentadbiran Trump mengenai operasi untuk mengambil alih pulau tersebut. Namun, langkah itu dianggap berisiko tinggi kerana Iran mampu menyerang pulau itu dengan peluru berpandu dan dron.
Reuters juga sebelum ini melaporkan bahawa pentadbiran Trumpt turut membincangkan kemungkinan penggunaan pasukan darat di dalam Iran untuk mendapatkan uranium yang diperkaya tinggi. Namun, pilihan ini berpotensi menyebabkan tentera AS berada lebih lama dan lebih jauh di dalam wilayah Iran bagi mengeluarkan bahan yang berada jauh di bawah tanah.
Perbincangan dalaman turut melibatkan kemungkinan menempatkan tentera AS di dalam Iran untuk memastikan laluan selamat bagi kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz. Walaupun misi ini dijangka dilaksanakan terutamanya melalui kekuatan udara dan laut, ia juga boleh melibatkan penempatan tentera di pesisir Iran.
Trump berkata pada Isnin bahawa AS sedang berbincang dengan rejim lain yang lebih ‘munasabah’ untuk menamatkan perang di Iran, namun dia turut mengulangi amaran kepada Tehran supaya membuka Selat Hormuz atau berdepan risiko serangan AS ke atas telaga minyak dan loji tenaga.
Sebarang penggunaan tentera darat AS — walaupun untuk misi terhad — boleh membawa risiko politik yang besar kepada Trump, memandangkan sokongan rakyat Amerika terhadap krisis terhadap Iran adalah rendah serta janjinya sebelum pilihan raya untuk mengelakkan AS terlibat dalam konflik baharu di Timur Tengah.
Sumber: Reuters