Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rejim Israel melancarkan beberapa siri serangan udara yang mengorbankan sebuah keluarga apabila seorang bapa, ibu dan empat orang anak mereka syahid selepas kediaman mereka dibedil di kawasan Sabra, bandar Gaza.

Menurut petugas perubatan, mangsa terdiri daripada Firas al-Masri, isterinya Salsabeel serta empat orang anak mereka. Serangan itu menyebabkan rumah mereka terbakar ketika keluarga tersebut dipercayai sedang tidur.

Bapa kepada Firas berkata, "Kami tidak sempat menyelamatkan cucu-cucu dan anak-anak kami. Lima hingga enam orang syahid, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita. Semua ini berlaku tanpa belas kasihan dan tanpa sebarang amaran." Beliau turut menyifatkan tragedi itu sebagai bukti bahawa tiada lagi tempat yang selamat di Gaza.

Tentera rejim Israel mendakwa serangan di Sabra itu menyasarkan seorang anggota HAMAS dan memaklumkan bahawa pihaknya sedang meneliti laporan berhubung insiden tersebut.

Serangan terbaharu itu berlaku walaupun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) telah berkuat kuasa sejak Oktober tahun lalu. Namun, serangan udara rejim Israel ke atas Gaza masih berterusan hampir setiap hari. Menurut pihak berkuasa Palestin, lebih 1,150 rakyat Palestin telah syahid sejak gencatan senjata dilaksanakan.

Dalam masa sama, usaha pengantara antarabangsa termasuk Mesir, Qatar, Turkiye dan AS untuk mencapai perjanjian damai yang lebih menyeluruh masih belum menunjukkan sebarang kemajuan.

Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Thameen al-Kheetan, berkata kepada wartawan di Geneva pada Selasa lalu, "Sembilan bulan telah berlalu sejak gencatan senjata diumumkan, namun masih tiada tempat yang selamat bagi rakyat Palestin di Gaza."

Beliau berkata, "Rejim Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 57 rakyat Palestin, termasuk enam kanak-kanak dan lapan wanita antara 13 hingga 20 Julai. Angka itu tidak termasuk keluarga al-Masri."

Al-Kheetan turut menegaskan bahawa pembunuhan berterusan terhadap rakyat Palestin meningkatkan kebimbangan terhadap pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, jenayah perang dan jenayah berat lain yang mungkin berlaku di Gaza.

Penduduk Gaza pula terus berdepan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing apabila sebahagian besar daripada mereka masih hidup sebagai pelarian di wilayah sendiri, manakala kediaman, infrastruktur dan kemudahan asas terus musnah akibat serangan berterusan rejim Israel.


Sumber: al-Jazeera

Written by
Admin
Published on
July 22, 2026