Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova pada Khamis menyatakan kebimbangan bahawa pelan damai Gaza yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan dipromosikan oleh Presiden AS, Donald Trump mungkin menjadi ‘topeng’ kepada ‘eksperimen tidak terkawal’ di wilayah yang dijajah itu.


Mengulas undian terkini mengenai pelan Trump di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC), Zakharova menjelaskan bahawa dokumen tersebut diterima dengan 13 undi menyokong, sementara Rusia dan China berkecuali.


“Kami berharap keputusan ini tidak menjadi fasad bagi eksperimen tidak terkawal ke atas wilayah Palestin yang dijajah sehingga berubah menjadi keputusan muktamad yang menafikan hak sah rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri. Ia juga menjejaskan harapan Israel terhadap keselamatan dan kewujudan bersama yang aman di rantau ini,” katanya.


Inti utama dokumen itu adalah pembentukan sebuah Lembaga Keamanan (Board of Peace) untuk mentadbir Gaza, yang akan dipengerusikan oleh Trump dan boleh merangkumi beberapa pemimpin global yang berwibawa dan dihormati, menurut kenyataannya.


Lembaga itu diberi kuasa untuk mengerahkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang akan beroperasi melalui konsultasi rapat dengan kerajaan haram Israel dan Mesir. Mandatnya termasuk fungsi penguatkuasaan keamanan seperti melucutkan keupayaan ketenteraan di wilayah tersebut dan pelucutan senjata HAMAS serta gerakan penentangan lain di Palestin.


Zakharova menegaskan bahawa pelan itu tidak memperuntukkan penglibatan Pihak Berkuasa Palestin dalam pentadbiran Gaza atau dalam menentukan masa depan rakyat Palestin berdasarkan formula dua negara.


“Kewajipan Israel sebagai kuasa pendudukan, termasuk larangan mengilhakan tanah Palestin dan pengunduran tenteranya tidak diperincikan,” katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa UNSC dan Sekretariat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dikecualikan sepenuhnya daripada proses penyeliaan terhadap struktur baharu itu atau mekanisme pelaksanaan pasukan antarabangsa. Keadaan ini dianggap bercanggah dengan semangat sebenar pendamaian dan bertentangan dengan keputusan undang-undang antarabangsa yang diiktiraf.


Zakharova berkata, keputusan Rusia untuk berkecuali mengambil kira pendirian kepimpinan Palestin serta negara-negara Arab dan Islam yang berkepentingan dan menyokong dokumen itu. Keputusan tersebut juga didorong oleh keinginan untuk mengelakkan berulangnya keganasan di Gaza.


“Saya ingin mengingatkan bahawa perang dan penderitaan penduduk di wilayah itu sudah lama boleh dihentikan sekiranya Washington tidak secara sistematik menggunakan kuasa veto sebanyak enam kali terhadap draf resolusi yang menuntut gencatan senjata segera,” tambahnya.



Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
November 28, 2025