Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Status negara haram Israel sebagai pemerhati dalam Perhimpunan Parlimen Majlis Eropah (PACE) boleh digantung berikutan undang-undang baharu hukuman mati yang dijatuhkan ke atas rakyat Palestin, menurut presiden badan tersebut.

Petra Bayr, Presiden PACE yang juga ahli politik Demokrat Sosial Austria berkata bahawa ketiadaan hukuman mati merupakan syarat penting bagi mengekalkan status pemerhati dalam badan hak asasi manusia pan-Eropah itu, yang tidak mempunyai kaitan dengan Kesatuan Eropah (EU).Beliau berkata status pemerhati parlimen haram Israel mungkin digantung sehingga keputusan (menentang undang-undang tersebut) dibuat atau sehingga jelas bahawa undang-undang itu tidak akan dikuatkuasakan. Beliau menegaskan bahawa terdapat ‘garis merah’ yang jelas, malah pelaksanaan hukuman mati yang tidak bersifat diskriminasi sekalipun tidak dibenarkan.

Parlimen wilayah haram Israel, Knesset telah memegang status sebagai pemerhati sejak 1957 di perhimpunan Strasbourg, yang menghimpunkan sebanyak 46 negara anggota bagi mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia di Eropah dan luar Eropah, serta merupakan badan induk Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR).

Rusia, bekas ahli Majlis Eropah, sebelum ini telah dilucutkan hak mengundi di PACE pada 2014 berikutan pengilhakan Crimea dan kemudian menarik diri sepenuhnya selepas ancaman pengusiran akibat pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine.

Status pemerhati Israel juga sebelum ini telah dipersoalkan selepas satu usul yang ditandatangani oleh kumpulan ahli parlimen pelbagai parti pada Jun lalu menggesa pihak Israel di wilayah pendudukan agar mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Gaza, dengan merujuk kepada tindakan kebuluran, kekurangan akses perubatan dan ketiadaan tempat perlindungan yang selamat untuk orang awam.

Ahli Parlimen dijangka membangkitkan kebimbangan mengenai undang-undang hukuman mati Knesset dalam satu undian berkaitan hukuman mati yang telah dirancang pada bulan ini.

Perhimpunan itu dijadualkan mengundi pada 22 April terhadap laporan oleh Gala Veldhoen, seorang Ahli Parlimen sayap kiri dari Belanda. Laporan tersebut secara menyeluruh menggesa Israel supaya mengekalkan penghapusan hukuman mati bagi jenayah biasa serta tidak memperluas senarai jenayah yang boleh dihukum mati secara diskriminatif.

Bulan lalu, Knesset meluluskan undang-undang hukuman mati yang menyasarkan tahanan Palestin, namun mengecualikan pesalah daripada kalangan warga haramnya. Langkah yang disifatkan sebagai penginstitusian dasar lama pembunuhan di luar proses kehakiman di bawah nama undang-undang itu telah dikutuk oleh kumpulan hak asasi manusia dan beberapa buah negara.

Undang-undang tersebut hanya terpakai kepada tahanan Palestin yang dituduh melakukan serangan yang diklasifikasikan bermotif nasional atau keselamatan dan tidak melibatkan pendatang haram Zionis yang membunuh rakyat Palestin. Hal ini sekali gus dianggap sebagai undang-undang yang bersifat diskriminasi kaum.

Secara rasmi, Israel kini merancang untuk melaksanakan hukuman mati di dalam pusat tahanan yang terkenal. Sekitar 10,000 rakyat Palestin yang ditahan, termasuk lebih 60 wanita dan 350 kanak-kanak, masih berada dalam penjara dan pusat tahanan Israel, di mana kebanyakannya adalah tahanan politik.

Negara-negara termasuk Britain, Perancis, Jerman dan Itali menyatakan kebimbangan mendalam terhadap undang-undang tersebut, dengan mengatakan ia berisiko melemahkan komitmen Israel terhadap prinsip demokrasi.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
April 23, 2026