Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Tentera rejim Israel buat pertama kali mengakui bahawa pasukannya telah melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki kanak-kanak Palestin berusia lima tahun, Hind Rajab dan keluarganya di bandar Gaza pada Januari 2024.

Pengakuan itu akhirnya dibuat selepas lebih dua tahun insiden berkenaan yang mengorbankan Hind, enam anggota keluarganya serta dua anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) yang dihantar untuk menyelamatkannya.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, tentera rejim Israel berkata siasatan jenayah akan dibuka berhubung kematian sembilan mangsa itu, dengan alasan terdapat dakwaan kegagalan dalam penyelarasan pergerakan ambulans PRCS.

Sebelum ini, tentera Israel rejim berulang kali menafikan rejimnya berada di kawasan Tal al-Hawa, lokasi serangan berlaku. Bagaimanapun, laporan media dan siasatan terdahulu telah mengenal pasti kehadiran kereta kebal rejim Israel di kawasan tersebut.

Hind pada awalnya terselamat selepas kenderaan keluarganya diserang. Dalam panggilan telefon dengan petugas PRCS, Hind merayu supaya diselamatkan selepas memberitahu bahawa anggota keluarganya telah terbunuh dan dirinya cedera.

Sebuah ambulans kemudian dihantar untuk menyelamatkannya selepas penyelarasan dengan tentera rejim Israel. Namun, ambulans itu turut diserang menyebabkan dua petugas perubatan terbunuh.

Dua belas hari kemudian, jasad Hind, enam anggota keluarganya dan dua petugas perubatan ditemukan. Rakaman panggilan terakhir Hind yang merayu agar diselamatkan turut menjadi bukti penting dalam siasatan mengenai insiden tersebut.

Menurut PRCS, rejim Israel sengaja menyasarkan ambulans tersebut sebaik sahaja mereka tiba di lokasi kejadian, walaupun penyelarasan awal telah dibuat bagi membolehkan misi menyelamat dijalankan.

Siasatan Al Jazeera pada 2024 mendapati sebuah kereta kebal Israel dipercayai berada hanya sekitar 13 hingga 23 meter dari kenderaan Hind, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai dakwaan bahawa tentera rejim Israel tidak mengetahui kehadiran orang awam di lokasi itu.

Namun, keluarga Hind dan pertubuhan yang memperjuangkan keadilan untuknya mempersoalkan kredibiliti siasatan dalaman Israel. Mereka menuntut siasatan antarabangsa bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap kematian Hind dan keluarganya dibawa ke muka pengadilan.

Nenek Hind turut menegaskan bahawa siasatan tidak seharusnya terhad kepada cucunya, sebaliknya perlu merangkumi ribuan kanak-kanak Palestin yang terbunuh sepanjang perang di Gaza.

Pengakuan terbaharu itu mencetuskan semula persoalan mengenai akauntabiliti terhadap tindakan tentera rejim Israel, khususnya selepas pelbagai dakwaan pelanggaran terhadap orang awam dan petugas kemanusiaan di Gaza.


Sumber: Quds News Network, The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
August 20, 2026