
Seorang pendatang haram Israel menembak mati seorang remaja Palestin berusia 16 tahun di bandar Tuqu’, pada Selasa lalu, sejurus selepas upacara pengebumian seorang lagi remaja, menurut datuk bandar bandar berkenaan.
Keganasan di Tebing Barat telah meningkat sejak bermulanya perang di Gaza pada Oktober 2023. Serangan oleh pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dilaporkan meningkat secara mendadak. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan jumlah serangan tertinggi pernah direkodkan adalah pada bulan Oktober.
Menurut sumber keselamatan Israel, seorang pendatang haram Israel telah melepaskan tembakan ke arah individu bertopeng yang membaling batu dan botol cat ke arah kenderaan awam Israel yang sedang melalui jalan utama di kawasan tersebut. Sumber itu berkata orang awam Israel berkenaan telah dibawa untuk siasatan lanjut oleh polis Israel.
“Hari ini, selepas pengebumian Ammar Sabah berusia 16 tahun yang dibunuh semalam oleh tentera haram Israel di pusat bandar, sekumpulan remaja berkumpul di tepi jalan utama apabila seorang pendatang haram menembak Muheeb Jibril yang juga berusia 16 tahun di kepala,” kata Datuk Bandar Tuqu’, Mohammed al-Badan kepada Reuters melalui telefon.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, pada Isnin lalu, tentera haram Israel membunuh Sabah dalam satu operasi serbuan ketenteraan di bandar berkenaan. Tentera haram Israel berkata insiden itu sedang disiasat. Mereka mendakwa batu telah dibaling ke arah askar, sebelum pasukan keselamatan menggunakan kaedah kawalan rusuhan dan kemudiannya melepaskan tembakan.
Tebing Barat didiami kira-kira 2.7 juta rakyat Palestin yang menjalani pemerintahan sendiri secara terhad di bawah kawalan ketenteraan Israel. Pada masa yang sama, ratusan ribu pendatang haram Israel telah menetap di wilayah yang dijajah tersebut.
Kebanyakan kuasa dunia menganggap penempatan haram Israel di atas tanah yang dirampas dalam perang 1967 sebagai tidak sah dan pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB telah menggesa kerajaan haram Israel untuk menghentikan semua aktiviti penempatan haram tersebut.
Sumber: Reuters, TRT World