Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk menangguhkan perjanjian kerjasama dengan kerajaan haram Israel atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.


Gesaan itu dibuat susulan surat bersama oleh kerajaan Sepanyol, Ireland dan Slovenia yang meminta semakan terhadap perjanjian tersebut, khususnya selepas Knesset meluluskan undang-undang hukuman mati terhadap tahanan Palestin dan berlakunya pemindahan paksa rakyat Lubnan.


Dalam satu perhimpunan di Andalusia menjelang mesyuarat menteri luar EU di Luxembourg, Sánchez berkata:


“Kerajaan yang melanggar undang-undang antarabangsa atau prinsip serta nilai EU tidak boleh menjadi rakan kita.”


Sepanyol dijangka mengemukakan cadangan rasmi untuk menamatkan perjanjian itu dalam mesyuarat tersebut.


Surat bersama ketiga-tiga negara itu menyatakan bahawa undang-undang hukuman mati terhadap tahanan Palestin merupakan pelanggaran serius hak asasi manusia dan bercanggah dengan prinsip demokrasi, sekali gus melanggar Artikel 2 Perjanjian EU-Israel.


Mereka juga menegaskan bahawa keganasan pendatang haram Israel di Tebing Barat serta pemindahan besar-besaran rakyat Lubnan adalah pelanggaran hak asasi.


Walau bagaimanapun, cadangan Sepanyol dijangka ditentang oleh beberapa negara EU yang diketuai Jerman. Sebelum ini, cadangan Suruhanjaya Eropah untuk mengenakan sekatan terhadap beberapa menteri Israel dan menggantung sebahagian perjanjian perdagangan gagal mendapat sokongan majoriti.


Sepanyol sebelum ini berulang kali mendesak EU menilai sama ada kerajaan haram Israel masih mematuhi syarat hak asasi manusia dalam perjanjian tersebut.


Sánchez turut menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa kini sedang dilanggar secara serius oleh kerajaan haram Israel.


Sepanyol merupakan antara negara Eropah yang paling konsisten mengkritik dan mengambil tindakan terhadap perang di Gaza yang telah mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin sejak Oktober 2023. Antara langkah yang diambil Sepanyol adalah menolak kapal yang membawa senjata ke Israel berlabuh di pelabuhannya, mengiktiraf negara Palestin pada tahun 2024 bersama Ireland, Slovenia dan Norway dan meluluskan sekatan penuh senjata terhadap negara haram Israel.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
April 20, 2026