SEPANYOL IKTIRAF PALESTIN SEBAGAI SEBUAH NEGARA PADA JULAI INI
Sepanyol akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara menjelang Julai tahun ini. Kenyataan itu disampaikan secara rasmi oleh Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez ketika lawatan pertamanya ke Jordan, Qatar dan Arab Saudi pada Selasa.
Jelas Sanchez, keputusan ini diambil setelah melihat keperluan untuk mengiktiraf kedudukan rakyat Palestin sebagai rakyat asal negara itu, bukan selamanya memegang status pelarian. Pada masa yang sama, Sanchez memberitahu bahawa kedudukan Sepanyol yang terkini terhadap pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berkemungkinan tinggi mendorong beberapa buah negara anggota lain di dalam Kesatuan Eropah (EU) untuk bertindak sama.
Pada masa yang sama, keputusan Sepanyol selari dengan usaha duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour untuk mendapatkan keahlian tetap dalam Majlis Keselamatan. Sebagai rekod, permohonan ahli tetap yang dikemukakan oleh Palestin masih belum diterima sejak permohonan pada 2011.
Sementara itu, pengumuman terkini daripada Sanchez bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dia telah bersetuju dengan pemimpin Ireland, Malta dan Slovenia untuk “mengambil langkah pertama” ke arah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara melalui mesyuarat Majlis Eropah pada 22 Mac tahun ini. Sanchez sendiri memberi jaminan bahawa pengiktirafan itu akan berlaku dalam tempoh perundangan selama empat tahun bermula tahun lepas.
Bagaimanapun, keempat-empat negara itu menerima ancaman daripada Menteri Luar Israel, Israel Katz: “Pengiktirafan yang dilakukan susulan insiden 7 Oktober hanya membawa mesej kepada HAMAS dan organisasi pengganas Palestin yang lain bahawa serangan ke atas Israel hanya akan dibalas dengan isyarat politik.”
Sumber: Middle East Monitor, The Times of Israel, Reuters, Politico