.png)
Pusat Kajian Tahanan Palestin mendedahkan bahawa sepanjang separuh pertama tahun ini, kerajaan haram Israel telah mempercepat usaha meluluskan beberapa peruntukan undang-undang yang membolehkan hukuman mati dijatuhkan ke atas tahanan Palestin dari Tebing Barat dan semenanjung Gaza.
Pengarah pusat tersebut, Riyad al-Ashqar berkata, usaha untuk menggubal undang-undang tersebut bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya merupakan kesinambungan dasar yang telah diusahakan sejak 2017 oleh beberapa anggota kerajaan haram Israel yang berusaha memberi kuasa kepada mahkamah tentera untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap tahanan Palestin.
Menurut beliau, walaupun beberapa Rang Undang-Undang (RUU) pernah dibentangkan sebelum ini, kesemuanya gagal diluluskan. Namun, keadaan berubah pada tahun ini apabila kerajaan haram Israel memanfaatkan perang di Gaza dan pelaksanaan undang-undang darurat untuk mempercepat proses berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa pada penghujung Mac lalu, Knesset meluluskan RUU yang membolehkan hukuman mati dikenakan terhadap tahanan Palestin dari Tebing Barat yang disabitkan kesalahan membunuh anggota tentera atau pendatang haram Yahudi.
Dalam perkembangan berkaitan, Komander Wilayah Tengah Tentera rejim Israel turut meluluskan pindaan terhadap perintah ketenteraan yang memberi kuasa kepada mahkamah tentera di Tebing Barat yang diduduki untuk menjatuhkan hukuman mati, selain menjadikan hukuman tersebut sebagai pilihan utama berbanding hukuman penjara seumur hidup atau penjara jangka panjang.
Al-Ashqar berkata, hanya sebulan kemudian, Knesset sekali lagi meluluskan undang-undang yang membolehkan hukuman mati dikenakan terhadap tahanan dari Gaza yang didakwa terlibat dalam peristiwa 7 Oktober, dengan pelaksanaannya berkuat kuasa secara retrospektif.
Katanya, bagi melaksanakan undang-undang itu, rejim Israel turut menubuhkan mahkamah khas bercirikan ketenteraan yang diberi kuasa mengendalikan kes tahanan Gaza yang ditahan pada 7 Oktober.
Beliau menyifatkan undang-undang tersebut sebagai satu bentuk pengesahan rasmi terhadap pembunuhan, selain mencerminkan dasar perkauman dan kekerasan yang diamalkan oleh rejim Israel.
Menurutnya, mahkamah khas itu akan beroperasi di bawah arahan institusi keselamatan rejim Israel tanpa memenuhi prinsip asas keadilan. Tahanan juga tidak akan diberikan hak pembelaan atau peluang membuat rayuan, sekali gus menafikan kebebasan badan kehakiman.
Al-Ashqar turut memberi amaran bahawa pelaksanaan undang-undang tersebut bakal membuka lembaran baharu yang lebih berbahaya menerusi peningkatan pembunuhan sistematik terhadap tahanan Palestin, di samping menginstitusikan keganasan negara secara terancang.
Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan memisahkan tahanan Palestin daripada identiti perjuangan nasional mereka, menafikan legitimasi penentangan terhadap pendudukan Israel serta menggambarkan mereka sebagai penjenayah yang wajar dihukum mati.
Dalam masa yang sama, beliau mengkritik sikap masyarakat antarabangsa yang disifatkan gagal mengambil tindakan tegas terhadap undang-undang berkenaan.
Katanya, walaupun kebanyakan negara mengeluarkan kecaman, namun sehingga kini masih belum wujud sebarang tekanan undang-undang atau diplomatik yang benar-benar berkesan untuk memaksa rejim Israel menarik balik atau menghentikan pelaksanaan undang-undang yang disifatkannya menghalalkan pembunuhan tahanan Palestin.
Sumber: Palestine Center for Prisoner Studies, Shehab News