.png)
Ribuan rakyat Palestin mengiringi pengebumian 112 jenazah dan rangka syuhada yang ditemui di bawah runtuhan sebuah kawasan perumahan di kejiranan al-Sabra, selatan bandar Gaza, selepas hampir tiga tahun kawasan itu dibedil tentera rejim Israel pada awal perang genosid di Gaza.h
Tragedi tragik itu dipercayai meragut 308 nyawa, termasuk 40 kanak-kanak, 38 wanita dan tujuh Orang Kurang Upaya (OKU). Jenazah dan cebisan jasad mangsa daripada keluarga Abu Sharia dan al-Hassaynah disolatkan sebelum dikebumikan berhampiran lokasi rumah mereka yang musnah.
Jenazah dan cebisan jasad mangsa yang terkorban diselubungi dengan bendera Palestin dan diusung dalam satu daripada upacara pengebumian terbesar pernah diadakan di Gaza dari segi jumlah jenazah yang dikebumikan serentak.
Pasukan Pertahanan Awam Gaza berjaya mengeluarkan semua jenazah pada Sabtu lalu selepas operasi mencari dan mengalihkan runtuhan dijalankan selama hampir dua minggu bersamaan 136 jam kerja berterusan dalam keadaan kekurangan peralatan dan sumber.
Pengarah Sokongan Kemanusiaan dan Kerjasama Antarabangsa Pertahanan Awam Gaza, Mohammed al-Mughayyir, berkata pasukan penyelamat berdepan keadaan yang amat menyayat hati kerana kebanyakan jenazah telah berada pada tahap pereputan yang teruk.
Menurut beliau, proses pengecaman mangsa amat sukar kerana kebanyakan jasad sudah berada dalam keadaan reput. Sebahagian mangsa dikenal pasti melalui pakaian, barang kemas, implan perubatan serta maklumat daripada ahli keluarga yang terselamat.
Al-Mughayyir turut menceritakan detik paling menyedihkan sepanjang operasi tersebut apabila pasukan penyelamat menemui mayat seorang bayi yang masih berada dalam pelukan ibunya, dipercayai sedang disusukan ketika rumah mereka dibom oleh tentera rejim Israel.
Menurut Pertahanan Awam Gaza, 157 lagi mangsa dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan di kawasan sama, manakala kira-kira 40 mayat telah berjaya dikeluarkan sejurus selepas serangan pada 2023.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal berkata sekiranya pihaknya mempunyai sekurang-kurangnya 10 jentera berat seperti jengkaut, jentolak dan kren, operasi mengeluarkan ribuan lagi mangsa yang masih tertimbus di seluruh Gaza dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga bulan.
Ketua Jabatan Rekod Kementerian Kesihatan Gaza, Zaher al-Waheidi menganggarkan kira-kira 7,400 rakyat Palestin masih hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan sejak perang bermula.
Sehingga kini, tentera rejim Israel tidak mengulas secara khusus mengenai serangan di Al-Sabra atau angka korban yang dilaporkan.
Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre, The Times of Israel