Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rejim Israel kembali menggunakan dasar pembunuhan bersasar di Gaza, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap pelaksanaan pelan jalan bagi fasa  gencatan senjata seterusnya.

Terbaharu, Ketua Polis Gaza, Jamal Abu Kmeil terbunuh dalam serangan udara rejim Israel yang menyasarkan kenderaannya di Jalan al-Rashid, selatan bandar Gaza.

HAMAS mengecam serangan itu sebagai usaha rejim Israel meneruskan perang dan mencetuskan kekacauan di Gaza, selain menggesa pihak pengantara menghentikan segera pelanggaran gencatan senjata.

Serangan tersebut berlaku selepas Ketua Turus Tentera Israel, Eyal Zamir dilaporkan mengetatkan syarat operasi pembunuhan bersasar di mana dia memerlukan kelulusan terlebih dahulu, susulan tekanan Amerika Syarikat (AS).

Namun, Perdana Menteri  wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu kemudiannya menegaskan bahawa arahan tembakan di Gaza tidak akan berubah, sekali gus menunjukkan perbezaan antara tekanan diplomatik dan tindakan rejim Israel di lapangan.

Gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober 2025 turut terus dilanggar. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, pelanggaran tersebut setakat ini mengakibatkan lebih 1,260 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 4,100 lagi cedera.

Netanyahu sebelum ini turut menolak pelan jalan yang mengandungi 15 perkara dan disokong HAMAS, dengan menetapkan syarat agar HAMAS melucutkan senjata terlebih dahulu sebelum sebarang pengunduran tentera rejim Israel dari Gaza dapat dilaksanakan.

Penganalisis melihat tindakan rejim Israel meneruskan pembunuhan bersasar sebagai petunjuk bahawa kerajaan Netanyahu masih enggan mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata dan pelan jalan yang dipersetujui.

Kebimbangan turut meningkat dalam kalangan penduduk Gaza terhadap kemungkinan berlaku kekosongan keselamatan, khususnya apabila anggota polis yang bertugas menjaga keselamatan awam turut menjadi sasaran.Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP) pula menyalahkan AS dan wakil Lembaga Keamanan (BOP), Nikolay Mladenov kerana gagal memberi tekanan mencukupi terhadap rejim Israel dan mendakwa sokongan politik serta ketenteraan Washington membantu meneruskan serangan.

Penganalisis berkata rejim Israel mungkin menggunakan operasi tersebut untuk menunjukkan bahawa ia masih mengawal keadaan, selain memenuhi kepentingan politik Netanyahu menjelang pilihan raya Israel pada akhir Oktober.

Dalam pada itu, tekanan AS terhadap kerajaan haram Israel kini menjadi ujian penting kepada masa depan pelan jalan tersebut, dengan nasib Gaza dijangka bergantung kepada tekanan Washington, pihak pengantara serta perkembangan politik dalaman negara haram tersebut.


Sumber:al-Jazeera

Written by
Admin
Published on
August 14, 2026