
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap keputusan rejim Israel menutup pintu-pintu sempadan utama ke semenanjung Gaza serta menggantung sementara kemasukan bekalan bantuan kemanusiaan dan barangan komersial ke wilayah itu.
Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, berdasarkan maklumat daripada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), pihak berkuasa rejim Israel telah menutup lintasan Kerem Shalom (Karem Abu Salem) susulan serangan peluru berpandu yang dilancarkan ke arah wilayah haram itu sejak malam Ahad.
Menurut beliau, Kerem Shalom merupakan satu-satunya pintu masuk kargo yang masih beroperasi ke Gaza sepanjang dua minggu lalu. Bagaimanapun, petugas kemanusiaan masih dibenarkan mengambil bekalan yang telah berada di bahagian Palestin di pintu sempadan tersebut.
Rejim Israel turut dilaporkan menutup lintasan Rafah yang menghubungkan Gaza dengan Mesir.Dalam kenyataan yang disampaikan bagi pihak Guterres, beliau menegaskan bahawa penduduk Gaza bergantung sepenuhnya kepada aliran berterusan bantuan kemanusiaan dan bekalan komersial dari luar wilayah itu.
“Keperluan kemanusiaan di Gaza masih berada pada tahap yang amat kritikal. Akses kepada bantuan perlu kekal konsisten, berterusan dan tanpa halangan,” katanya.Guterres turut menggesa agar pergerakan bantuan kemanusiaan ke Gaza disambung semula dengan segera dan pada skala yang mencukupi, selain menyeru semua pihak memudahkan penghantaran bantuan secara pantas, selamat dan tanpa sekatan selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Menurut Farhan Haq, setakat ini semua laluan masuk ke Gaza masih ditutup, menyebabkan tiada sebarang bekalan baharu dapat dibawa masuk dari luar. Walaupun pengagihan bantuan masih diteruskan di dalam Gaza, stok sedia ada semakin berkurangan dan tidak mampu menampung keperluan penduduk untuk tempoh jangka masa panjang.
Beliau turut menegaskan bahawa PBB tidak menyokong keputusan rejim Israel yang menutup lintasan sempadan berkenaan dan menggesa supaya sistem kemasukan bantuan kemanusiaan serta perdagangan dikembalikan seperti biasa.
Dalam perkembangan berkaitan, PBB turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan di Tebing Barat yang diduduki. Ianya susulan kematian seorang bayi Palestin berusia tujuh bulan selepas tentera rejim Israel melepaskan tembakan ke arah kenderaan keluarganya di kawasan Tel Rumeida.
PBB menegaskan bahawa penduduk Palestin di Tebing Barat mesti dilindungi mengikut skop undang-undang antarabangsa, manakala mereka yang bertanggungjawab terhadap sebarang pelanggaran hak asasi manusia perlu dibawa ke muka pengadilan.
Menurut data Palestin, sekurang-kurangnya 951 rakyat Palestin telah syahid terkorban dan 2,984 lagi cedera akibat serangan berterusan rejim Zionis Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
Sejak perang Gaza tercetus pada Oktober 2023, Tebing Barat turut menyaksikan peningkatan serbuan tentera rejim Israel, penahanan rakyat Palestin serta peluasan penempatan haram Yahudi yang berterusan.
Sumber: Anadolu Ajansi