Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) mengumumkan pelantikan Khalil al-Hayya sebagai Ketua Biro Politik baharunya, menggantikan Yahya Sinwar yang syahid dalam serangan rejim Israel di Rafah pada Oktober 2024.


Pelantikan al-Hayya dibuat menerusi pusingan kedua pemilihan dalam Majlis Syura Umum HAMAS menentang bekas Ketua Biro Politik HAMAS, Khaled Meshaal. Pada pusingan pertama, kedua-dua calon gagal memperoleh majoriti mutlak, iaitu 50 peratus ditambah satu undi seperti yang ditetapkan dalam peraturan dalaman HAMAS.


Al-Hayya dilahirkan di Gaza pada tahun 1960. Beliau membesar dalam suasana konflik, termasuk menyaksikan peperangan Arab-Israel pada tahun 1967, yang membentuk kesedaran politiknya sejak usia muda.


Pengasas HAMAS, Syeikh Ahmad Yassin membimbing al-Hayya untuk aktif dalam gerakan tersebut. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Islam Gaza, Ijazah Sarjana dari Universiti Jordan serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Hadith.


Al-Hayya merupakan antara pengasas struktur politik HAMAS di Gaza dan dipilih sebagai anggota Majlis Perundangan Palestin pada pilihan raya 2006 yang dimenangi HAMAS. Beliau kemudian menganggotai Biro Politik HAMAS sebelum dilantik sebagai timbalan kepada Yahya Sinwar, seterusnya dipilih sebagai ketua baharu gerakan itu.


Sepanjang lebih dua dekad, al-Hayya memainkan peranan penting dalam usaha diplomatik HAMAS. Beliau mengetuai delegasi perundingan gencatan senjata ketika peperangan rejim Israel ke atas Gaza pada tahun 2012 dan 2014.


Sejak tercetusnya perang genosid di Gaza, al-Hayya menjadi wajah utama HAMAS dalam rundingan tidak langsung berkaitan gencatan senjata dan pertukaran tahanan bersama para pengantara dari Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS). Beliau juga kerap mewakili HAMAS dalam kenyataan rasmi berhubung perkembangan politik dan situasi kemanusiaan di Gaza.


Peranan aktif al-Hayya dalam kepimpinan HAMAS turut menjadikan beliau sasaran utama rejim Israel. Beliau dilaporkan beberapa kali menjadi sasaran cubaan pembunuhan oleh rejim Zionis, namun terselamat daripada setiap serangan tersebut.


Menurut penganalisis, pemilihan al-Hayya mencerminkan hasrat HAMAS untuk mengekalkan kesinambungan dasar politik dan ketenteraan gerakan itu, di samping memberi tumpuan kepada usaha membina semula Gaza selepas perang serta meneruskan rundingan berkaitan gencatan senjata dan pembebasan tahanan.


Walaupun berdepan tekanan berterusan daripada rejim Israel, al-Hayya berulang kali menegaskan bahawa HAMAS tidak akan melucutkan senjata selagi Palestin masih berada di bawah pendudukan, sambil menegaskan bahawa sebarang penyelesaian mestilah menjamin hak rakyat Palestin dan penamatan pencerobohan ke atas Gaza.


Pelantikan beliau dijangka memberi kesan besar terhadap hala tuju HAMAS pada masa hadapan khususnya dalam mengurus rundingan politik, memperkukuh hubungan dengan negara-negara serantau serta menghadapi tekanan berterusan daripada rejim Israel dan sekutunya.


Sumber: al-Jazeera, Anadolu

Written by
Admin
Published on
July 21, 2026