Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Bayi pramatang dan yang baru lahir di Gaza berdepan risiko maut dalam tempoh 48 jam susulan kekurangan susu formula dan susu terapeutik. Difahamkan penyusutan sumber susu untuk bayi sudah berada di paras kritikal akibat sekatan berterusan Israel terhadap bantuan kemanusiaan, menurut amaran pakar kesihatan tempatan.


Dr. Ahmad Al-Farra, Pengarah Jabatan Pediatrik di Kompleks Perubatan Nasser memberi amaran bahawa hospital-hospital di selatan Gaza berada di ambang kehancuran apabila bekalan perubatan untuk bayi semakin susut, sekaligus mengancam nyawa ribuan bayi.


Beliau menyifatkan situasi semasa sebagai bencana dan menyeru campur tangan segera komuniti antarabangsa, termasuk agensi khusus dan pertubuhan hak asasi manusia seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendesak Israel membenarkan kemasukan segera susu bayi dan bantuan perubatan penting ke Gaza.

“Kami mengeluarkan amaran terakhir. Situasi ini belum pernah berlaku sebelum ini – kritikal dan mengancam nyawa,”

tegas Dr. Al-Farra.

Beliau menambah bahawa bayi pramatang dan baru lahir mungkin akan meninggal dunia dalam tempoh beberapa hari jika bantuan tidak dibenarkan masuk dengan segera.

Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kini beroperasi dalam keadaan kritikal tanpa bekalan vaksin, ubat-ubatan asas dan peralatan sokongan nyawa yang mencukupi.

“Setiap jam amat berharga. Tanpa akses segera dan tanpa halangan kepada bekalan yang boleh menyelamatkan nyawa, kita sedang menghitung detik menuju kematian yang sepatutnya boleh dielakkan,”

katanya lagi.

Written by
Admin
Published on
June 20, 2025