Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Mantan Jeneral Israel, Yitzhak Brik memberi amaran bahawa situasi yang sedang dihadapi wilayah haram Israel pada penghujung tahun ini berada dalam situasi yang belum pernah berlaku, dihimpit pelbagai krisis merangkumi bidang politik, keselamatan, ekonomi dan sosial.


Dalam satu artikelnya di akhbar Ibrani, Maariv, Brik menegaskan keperluan mendesak untuk merangka strategi menyeluruh bagi memastikan kelangsungan dan kemakmuran wilayah haram itu. Menurutnya, banyaknya ancaman di samping medan konflik yang kian bertambah telah membebankan institusi keselamatan, yang kini terpaksa berdepan cabaran di Gaza, Tebing Barat serta kemungkinan konfrontasi dengan Iran dan sekutunya.


Brik turut menyatakan kedudukan wilayah haram tersebut di peringkat antarabangsa yang kini semakin merosot kesan kempen boikot yang berterusan. Hal ini sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keupayaannya untuk beroperasi di pentas global di samping mengekalkan hubungan strategik penting.


Dari sudut ekonomi, Brik memberi amaran bahawa kos perang yang sangat tinggi — termasuk peningkatan besar bajet keselamatan dan defisit — menimbulkan risiko serius kepada ekonomi jangka panjang, khususnya dengan kelembapan pertumbuhan ekonomi dan kebimbangan penurunan pelaburan asing dalam sektor teknologi. Keadaan ini diperburuk oleh kenaikan harga dan kos sara hidup yang terus membebankan rakyat, sekali gus menuntut untuk merangka pelan ekonomi menyeluruh dan pengurangan perbelanjaan yang tidak perlu.


Menyentuh isu perpecahan dalaman, dia menegaskan bahawa perpecahan politik, sosial dan keagamaan masih mendalam dan mengancam perpaduan nasional. Masyarakat haram Israel, katanya amat memerlukan proses pemulihan daripada trauma pascaperang, termasuk sokongan kepada keluarga mangsa, mereka yang cedera dan terjejas akibat konflik.


Brik mengakhiri analisisnya dengan menegaskan bahawa kelangsungan Israel bergantung kepada keupayaannya beralih daripada pendekatan memonopoli pandangan kepada visi yang inklusif dan berprinsip, dengan meletakkan ketahanan sosial dan perpaduan masyarakat sebagai keutamaan utama, di samping kestabilan ekonomi dan keselamatan.

Sumber: Shehab News

Written by
Admin
Published on
December 16, 2025