
Menteri Kewangan negara haram Israel, Bezalel Smotrich mengancam untuk memperhebat pengeboman ke atas pinggir selatan Beirut sehingga kawasan itu menjadi seperti bandar Khan Yunis di selatan Gaza. Kenyataan tersebut dibuat ketika meninjau lapangan di sepanjang sempadan negara haram Israel dengan Lubnan, termasuk di bandar Ma’alot, Shlomi dan Zar’it.
“Kamu mahu memberikan ‘neraka’ kepada kami, maka kami akan memberikan ‘neraka’ kepada kamu.” Tambahnya lagi, “Dahiyeh akan kelihatan seperti Khan Yunis dan rakyat kami di utara akan hidup dengan aman dan tenang.”
Khan Yunis hampir musnah sepenuhnya sepanjang perang genosid yang dilancarkan Zionis hingga mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin, manakala lebih 172,000 yang lain cedera. Selain itu, sebanyak 90% infrastruktur awam mengalami kerosakan berskala besar. Kos pembinaan semula dianggarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperuntukkan sekitar $70 bilion.
Smotrich berkata bahawa Hizbullah telah melakukan kesilapan dan perlu membayar dengan harga yang mahal. Dia merujuk kepada serangan kumpulan tersebut yang disifatkan sebagai tindak balas terhadap peningkatan serangan penjajah ke atas selatan Lubnan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Sekurang-kurangnya 102 orang terbunuh dan hampir 650 lagi cedera dalam serangan penjajah di seluruh Lubnan, termasuk di selatan Beirut sejak Isnin lalu susulan serangan roket Hizbullah.
Peningkatan ketegangan itu berlaku ketika serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan rejim haram Israel ke atas Iran yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 926 orang sejak Sabtu lalu, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa pegawai kanan tentera.
Sumber: Anadolu Ajansi, Middle East Monitor, The Times of Israel