Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan ekstrem, Bezalel Smotrich, pada Selasa memaklumkan bahawa Israel kini berada pada tahap paling hampir untuk menjajah Gaza dan membina semula penempatan haram di wilayah itu.


Dalam kenyataannya, dia mendakwa wilayah itu adalah bahagian yang tidak sepatutnya terpisah daripada tanah haram Israel.


Mengulas rancangan penempatan semula pendatang Yahudi ke Gaza, beliau berkata: 


“Ia benar. Selama 20 tahun kita menganggapnya angan-angan. Tapi kini nampaknya ia satu rancangan sebenar yang sedang dilaksanakan. Saya tidak mahu kembali ke Gush Katif, ia terlalu kecil dan padat,” katanya. 


Gush Katif merujuk kepada 21 blok penempatan haram Israel di selatan Gaza yang ditinggalkan pada 2005 sebagai sebahagian daripada rancangan penarikan diri Israel dari Gaza.


Kenyataan Smotrich hadir tidak lama selepas Belanda mengumumkan larangan masuk ke negaranya terhadap Smotrich dan Menteri Keselamatan Israel berhaluan kanan ekstrem, Itamar Ben-Gvir, sebagai tekanan diplomatik terhadap Israel agar menghentikan perang yang telah berlarutan selama 21 bulan dan meragut ribuan nyawa orang awam di Gaza.


Kedua-dua Smotrich dan Ben-Gvir secara terbuka menyeru agar perang di Gaza diteruskan, dan mengugut akan meninggalkan kerajaan sekiranya gencatan senjata dicapai. Mereka turut menyokong pengusiran secara paksa terhadap lebih dua juta penduduk Palestin di Gaza — langkah yang menurut pakar undang-undang antarabangsa boleh disifatkan sebagai pembersihan etnik.



Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 31, 2025