Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Kumpulan pro-Palestin di beberapa negara Arab menyeru orang ramai memboikot filem Spider-Man: Brand New Day berikutan sokongan terbuka penerbitnya, Avi Arad, terhadap negara haram Israel.


Kempen Boikot Penyokong Israel di Lubnan menggesa orang ramai tidak membeli tiket filem berkenaan, dengan menyifatkan sokongan kewangan terhadap produksi yang melibatkan individu yang secara terbuka menyokong Israel sebagai satu bentuk normalisasi budaya.


Di Jordan, kumpulan anti-normalisasi Taharrak turut menyeru orang ramai memboikot filem tersebut serta meminta agar ia dikeluarkan daripada jadual tayangan pawagam. Taharrak turut menyerbu Sindiket Artis Jordan, pengendali pawagam dan institusi berkaitan lain untuk mengambil pendirian menentang tayangan filem itu.


Kempen berkenaan turut mendapat sokongan daripada aktivis dan pencipta kandungan di beberapa negara Arab lain.

Kempen boikot ini ditujukan khususnya kepada rekod politik penerbit Avi Arad dan bukannya jalan cerita filem tersebut atau pelakon dan krunya.


Avi Arad merupakan mantan ketua Marvel Studios dan tersenarai antara penerbit filem itu bersama Kevin Feige, Amy Pascal dan Rachel O’Connor. Dia memiliki kewarganegaraan Israel serta Amerika Syarikat (AS), dan pernah berkhidmat sebagai tentera rejim Israel dari tahun 1965 hingga 1968 serta menyertai perang pada tahun 1967.


Pada 2024, Arad secara terbuka mengkritik bekas Ketua Majoriti Senat AS, Chuck Schumer, selepas beliau mengkritik Perdana Menteri wilayah haram, Israel Benjamin Netanyahu dan menyeru supaya pilihan raya baharu diadakan di Israel.


Arad yang pernah berkhidmat dalam tentera Israel turut menolak campur tangan Schumer dalam isu berkaitan negara haram itu dan berkata, “Perang ini bukan perang kalian, bukan negara kalian dan bukan kalian yang berisiko.”


Bagi aktivis boikot, kenyataan tersebut telah menyebabkan mereka enggan menyokong filem itu secara kewangan.


Filem yang dibintangi Tom Holland sebagai Peter Parker itu masih ditayangkan di Lubnan walaupun berdepan seruan boikot. Wakil rangkaian pawagam Grand Cinemas turut dilaporkan berkata permintaan terhadap filem tersebut masih tinggi selepas tayangannya.


Namun, kempen boikot terus mendapat perhatian di media sosial apabila aktivis menggesa penonton di seluruh rantau Arab mempertimbangkan hubungan politik dan sokongan individu yang terlibat dalam produksi hiburan sebelum membeli tiket.

Sumber: The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
August 14, 2026