Pihak berkuasa tentera Israel telah memberi amaran kepada berpuluh-puluh anggotanya yang menyertai pembunuhan beramai-ramai di semenanjung Gaza untuk mengelakkan perjalanan ke luar negara selepas aduan jenayah perang difailkan terhadap mereka.
Menurut media Israel, Ynet News, amaran tersebut telah diberikan kepada kira-kira 30 askar dan pegawai yang terlibat dengan operaso di Gaza dan yang kemudiannya mengembara ke luar negara termasuk Cyprus, Slovenia dan Belanda.
Sekurang-kurangnya lapan daripada kakitangan itu dilaporkan telah diarahkan segera meninggalkan negara asing tersebut kerana khuatir mereka boleh ditangkap atau disoal siasat, selepas pertubuhan hak asasi manusia dan kumpulan pro-Palestin memfailkan aduan terhadap mereka berhubung jenayah perang mereka di Gaza dan Palestin.
Kes yang difailkan terhadap pemimpin dan anggota tentera Israel mencecah berpuluh-puluh laporan, dengan organisasi terkenal yang terlibat dalam kerja undang-undang, Yayasan Hind Rajab – dinamakan sempena gadis Palestin berusia lima tahun yang dibunuh oleh tentera Israel di Gaza pada Januari tahun ini – yang memfailkan laporan terhadap 1,000 tentera Israel.
Menurut saluran berita Turkiye, Anadolu Agency, peguam yayasan tersebut, Haroon Raza, memaklumkan bahawa kes itu termasuk semua jenis pertuduhan jenayah perang yang dinyatakan dalam Statut Rom, menjelaskan bahawa senarai itu termasuk jenayah kebuluran, jenayah menyerang orang awam, jenayah menyerang objek awam, dan lain-lain.
Kes itu juga dilaporkan disokong oleh banyak bukti bahawa lebih 8,000 bukti yang boleh disahkan – termasuk video, rakaman audio, laporan forensik dan dokumentasi media sosial – menunjukkan penglibatan langsung askar dalam kekejaman ini.
Walaupun tentera Israel tidak menghalang ahli tenteranya secara beramai-ramai ke luar negara sebagai dasar umum, ia dilaporkan secara aktif melakukan penilaian risiko untuk tentera yang berkhidmat di Gaza sebelum meluluskan permintaan mereka.
Sumber: Middle East Monitor