Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Aktivis Lubnan, Nabih Awadeh yang pernah bersama Ketua Biro Politik HAMAS, as-syahid Yahya al-Sinwar di dalam penjara Zionis mendedahkan sebahagian kisah hidup Yahya al-Sinwar semasa berada di dalam tahanan.

Awadeh berkata as-syahid al-Sinwar meninggalkan kesan positif kepada semua tahanan yang berada bersamanya disebabkan pendiriannya yang tegas dalam mempertahankan hak-hak para tahanan di penjara Zionis.

Beliau telah bersama Yahya Sinwar di Penjara Asqalan dari tahun 1990 hingga akhir 1995. Katanya lagi, al-Sinwar dikenali dengan ketegasannya memperjuangkan tuntutan para tahanan, lebih-lebih lagi ketika beliau pernah  berunding dengan pihak pengurusan penjara ketika menjadi salah seorang pemimpin tahanan di dalam penjara.

Awadeh turut menjelaskan peranan dan kesan yang ditinggalkan oleh Yahya al-Sinwar ini memberi pengaruh besar kepada semua tahanan, tanpa mengira dari wilayah mana mereka berasal atau aliran pemikiran dan ideologi mereka.

Beliau turut menyatakan bahawa terdapat hubungan sosial-politik yang terjalin antara beliau dan Yahya al-Sinwar yang komited sepenuhnya kepada perjuangan.

Awadeh menyebut bahawa al-Sinwar sangat mengagumi model pejuang Lubnan, terutamanya berkaitan dengan penentangan terhadap Zionis, khususnya pembebasan beberapa kawasan di Lubnan daripada Zionis. Beliau juga sangat berminat untuk memahami gambaran yang lebih jelas tentang Lubnan melalui pengenalan kepada gerakan pejuang Lubnan terhadap penjajah Israel. Hal ini menjadi penghubung antara beliau dan al-Sinwar.

Dalam menyentuh aspek lain dalam peribadi al-Sinwar, Awadeh berkata bahawa Yahya Sinwar mempunyai personaliti yang menyenangkan, serta suka mengusik dan ketawa bersama orang lain.

Beliau turut menambah bahawa al-Sinwar sangat berminat untuk mengenali latar belakang sosial mereka yang berurusan dengannya, termasuk butiran tentang pendidikan dan asuhan mereka. Beliau juga berusaha mengenali kawasan lain di Palestin kerana sepanjang hidupnya, al-Sinwar hanya tinggal di kem pelarian Khan Younis di Gaza.

Al-Sinwar tidak lokek untuk bertanyakan hal lanjut tentang kawasan lain di Palestin seperti Nablus, Jenin dan Baitul Maqdis melalui tahanan yang berasal dari kawasan tersebut, serta berusaha memahami lebih mendalam tentang Lubnan melalui tahanan dari Lubnan.

Awadeh menegaskan bahawa al-Sinwar menggabungkan sikap sosial dengan karakter yang membawa identiti negara sesuai dengan tanah airnya, Palestin.

Awadeh turut mendedahkan janji Yahya Sinwar kepada para tahanan Palestin pada malam pembebasannya dalam pertukaran tahanan Wafa al-Ahrar (dikenali juga sebagai Gilad Shalit) pada tahun 2011. Janjinya pada ketika itu adalah untuk membebaskan para tahanan yang lain dari penjara Israel.

Awadeh menjelaskan bahawa dalam persediaan untuk Wafa al-Ahrar, Muhammad Sinwar, adik kepada Yahya Sinwar bertanggungjawab menyiapkan senarai nama tahanan yang akan dibebaskan. Yahya Sinwar meminta adiknya turut menyenaraikan para tahanan dari faksi Palestin lain seperti Fatah, Jihad Islami dan Popular Front for the Liberation of Palestine, tidak hanya terhad kepada anggota HAMAS sahaja.

Yahya Sinwar menjadi tahanan di penjara Israel selama lebih 20 tahun. Sepanjang tempoh penahanannya, beliau dikenali sebagai "Tahanan 7333335". Sementara itu, Israel mendakwa bahawa Yahya Sinwar adalah individu utama yang bertanggungjawab atas serangan pada 7 Oktober 2023.

Sumber: Shehab News, Al-Sharq

Written by
Admin
Published on
October 22, 2024