Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Israel telah menyerang Hospital Nasser di selatan semenanjung Gaza pada Isnin, mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang termasuk lima wartawan serta beberapa petugas perubatan dan penyelamat. Serangan ini merupakan antara serangan yang paling dahsyat, yang menyasarkan secara langsung sistem kesihatan Gaza yang sudah musnah akibat perang.

Serangan tersebut juga meragut nyawa wartawan daripada Al Jazeera, Reuters, Associated Press (AP) serta wartawan bebas yang bertugas di kawasan itu. Antara yang terbunuh ialah Mohammad Salama dari Al Jazeera, jurukamera Reuters, Hussam al-Masri, wartawan AP, Mariam Abu Daqqa serta dua juruvideo, Ahmed Abu Aziz dan Moaz Abu Taha.

Menurut saksi, serangan itu menggunakan taktik double tap, iaitu tembakan awal diikuti serangan kedua ke lokasi sama beberapa minit kemudian. Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Nasser, Dr. Ahmed al-Farra, memaklumkan peluru pertama menyasarkan tingkat atas bangunan hospital, namun ketika wartawan dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi, peluru kedua menghentam tangga luar, sekali gus meningkatkan jumlah korban.

Pertubuhan media antarabangsa bersama kumpulan hak asasi manusia mengecam insiden itu sebagai serangan terancang untuk membungkam suara wartawan. Al Jazeera pula menegaskan serangan tersebut jelas menunjukkan niat untuk menimbus kebenaran.

Francesca Albanese, Pelapor Khas PBB mengenai wilayah Palestin yang diduduki, turut mengecam tindakan Israel.

“Penyelamat dibunuh ketika menjalankan tugas. Adegan seperti ini berlaku setiap saat di Gaza, namun sering tidak terlihat atau tidak didokumentasikan,” katanya. Beliau merayu negara-negara lain bertindak menghentikan pembunuhan beramai-ramai tersebut dengan memecahkan sekatan, mengenakan embargo senjata ke atas Israel.

Menurut rekod Al Jazeera, jumlah wartawan Palestin yang terbunuh sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada 273 orang selepas insiden terbaharu ini. Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) pula menggesa masyarakat antarabangsa memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas siri serangan berulang yang disifatkan sebagai jenayah terhadap media.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa serangan itu sebagai ‘kesilapan tragis’ dan memaklumkan pihak tentera sedang menjalankan siasatan. Israel kerap memberikan alasan sama setiap kali berdepan kecaman antarabangsa, namun sehingga kini tiada sebarang akauntabiliti dikenakan.

Dalam serangan berasingan di Khan Yunis pada hari sama, tentera Israel membunuh seorang lagi wartawan Palestin, Hassan Douhan, yang bertugas dengan akhbar Al-Hayat al-Jadida. Kejadian itu menjadikan jumlah wartawan terbunuh pada hari Isnin sahaja meningkat kepada enam orang.

Dua minggu lalu, Israel turut membunuh wartawan terkenal Al Jazeera, Anas al-Sharif, bersama empat wartawan lain dalam serangan berasingan. Israel mengakui menyasarkan al-Sharif dengan dakwaan tidak berasas kononnya beliau anggota HAMAS, selepas berbulan-bulan mengugut dan memfitnahnya sebelum pembunuhan itu berlaku.

Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
August 26, 2025