Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin dan mencederakan 90 yang lain apabila mereka melepaskan tembakan rambang berhampiran sebuah tapak agihan bantuan di Rafah.Kejadian tembakan terkini berlaku awal pagi Selasa di Bulatan Bendera, berhampiran pusat bantuan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) di selatan Gaza.Lebih membimbangkan lagi, ini merupakan insiden ketiga yang berlaku di sekitar pusat bantuan Rafah dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Pihak berkuasa Gaza melaporkan bahawa lebih 100 pencari bantuan telah terbunuh sejak GHF yang disokong oleh Amerika Syarikat dan Israel mula beroperasi di wilayah terkepung itu pada 27 Mei, dalam keadaan penuh kekacauan, rompakan dan keganasan.Tentera Israel berkata mereka melepaskan tembakan selepas beberapa individu yang dilihat 'mencurigakan' menyimpang daripada laluan yang ditetapkan, semasa orang ramai sedang menuju ke kompleks agihan GHF.Individu-individu itu berada kira-kira 500 meter dari kawasan agihan, menurut kenyataan tentera di Telegram, sambil menambah bahawa mereka sedang menyiasat laporan mengenai angka maut.

Jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Hisham Mhanna berkata seramai 184 orang yang cedera telah dibawa ke hospital medan ICRC di Rafah dan 19 daripada mereka meninggal dunia sejurus tiba, manakala lapan lagi meninggal dunia akibat kecederaan.Pejabat Media Kerajaan Gaza mendakwa Israel melakukan jenayah ngeri yang disengajakan dan berulang. Mereka berkata rejim Zionis telah memancing rakyat Palestin yang kelaparan ke pusat-pusat GHF yang dibuka selepas sekatan total selama 11 minggu.Menurut mereka, jumlah kematian pada Selasa menjadikan keseluruhan pencari bantuan yang terbunuh di pusat-pusat bantuan dalam wilayah Rafah dan Koridor Netzarim sejak GHF mula beroperasi mencecah 102 orang, manakala 490 lagi cedera.

Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
June 4, 2025