Institut Memorial Holocaust di Jerman telah melabelkan beberapa simbol dan slogan pro-Palestin yang terkenal sebagai anti-Semitik. Pelabelan itu dipercayai mempunyai unsur anti-Zionis atau anti-Israel.
Berdasarkan panduan baharu yang bertajuk Jenama, Kod, Simbol dan Tanda Bermasalah Kumpulan Pelampau Sayap Kanan dan Anti-Semitik yang diterbitkan oleh Buchenwald Memorial Centre pada 7 Julai lalu, mereka menyamakan simbol pro-Palestin dengan simbol neo-Nazi dan pelampau kanan sebagai ancaman yang tiada bezanya.
Laporan itu mendakwa bahawa buah tembikai adalah sebahagian daripada normalisasi permusuhan terhadap Israel yang telah dipraktikkan dengan baik kerana ia digunakan sebagai simbol tidak rasmi bendera Palestin. Laporan itu juga mendakwa bahawa semua imej pro-Palestin adalah penafian hak orang Yahudi untuk hidup di Israel.
Gerakan BDS (Boycott, Divestment, Sanctions) serta simbol Handala yang digunakannya juga menjadi sasaran dalam laporan tersebut.
Slogan seperti From the river to the sea, Palestine will be free; Ceasefire now; dan End the genocide yang sering digunakan oleh para penunjuk perasaan pro-Palestin turut dinyatakan secara khusus dalam laporan berkenaan.
Laporan itu menuduh bahawa slogan Ceasefire now adalah tuntutan sebelah pihak yang merugikan Israel. Pada masa yang sama, laporan tersebut turut menekankan penggunaan perkataan genocide atau pembunuhan beramai-ramai (genosid) adalah satu bentuk ugutan terhadap negara Yahudi.
Bagaimanapun, pemakaian keffiyeh di sekolah-sekolah, simbol dan slogan lain yang disebut dalam laporan itu masih belum diharamkan secara rasmi oleh kerajaan Jerman.
Sejak Israel melancarkan genosid di Gaza, Jerman bukan sahaja memberikan sokongan politik dan diplomatik yang meluas kepada Israel tetapi juga mempercepatkan eksport senjata untuk membantu kekejaman rejim Israel.
Jerman turut meminggirkan rakyat Palestin dalam masyarakatnya dan menindas aktivisme pro-Palestin secara ganas, termasuk mereka yang datang daripada kalangan aktivis Yahudi sendiri.
Sumber: Quds News Network