Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin memaklumkan bahawa pendatang haram Israel bersama pasukan tentera penjajah telah menyerbu Masjid al-Aqsa sebanyak 28 kali sepanjang Januari, manakala pihak berkuasa Israel pula menghalang laungan azan di Masjid Ibrahimi di al-Khalil yang dijajah sebanyak 57 kali dalam tempoh bulan yang sama.


Dalam laporan bulanannya yang mendokumentasikan pelanggaran terhadap tapak-tapak suci, kementerian tersebut menyatakan bahawa tentera Israel dan pendatang haram telah meningkatkan serangan mereka secara mendadak ke atas Masjid al-Aqsa, sama ada melalui pencerobohan berulang mahupun melalui rancangan yahudisasi berbahaya yang menyasarkan masjid suci tersebut.


Kementerian turut menjelaskan bahawa tentera rejim mengetatkan sekatan ke atas jemaah, khususnya ketika solat Subuh serta berulang kali menghalang kemasukan ke Masjid al-Aqsa. Tentera haram Israel menahan pemuda-pemuda Palestin, memeriksa kad pengenalan mereka dan mengenakan langkah keselamatan ketat di sekitar Kota Lama Baitul Maqdis yang diduduki serta di pintu-pintu masuk masjid. Menurut Jabatan Wakaf Islam, seramai 4,397 pendatang haram Israel memasuki Masjid al-Aqsa secara berkelompok sepanjang Januari di bawah perlindungan polis Israel.


Di Masjid Ibrahimi di al-Khalil, selatan Tebing Barat, kementerian tersebut menyatakan bahawa tentera Israel berulang kali menghalang azan dan terus menutup pintu pasar yang membawa ke masjid itu setiap hari. Pihak berkuasa Israel juga menutup pintu timur masjid serta menutup tingkap-tingkapnya sejak awal tahun 2025. Para jemaah dan kakitangan masjid turut berdepan pemeriksaan yang memalukan, penghinaan lisan serta cercaan, menurut laporan tersebut.


Kementerian menyifatkan tindakan ini sebagai serangan terang-terangan terhadap kuasa wakaf, pelanggaran serius terhadap kesucian masjid serta cubaan untuk mengenakan kawalan sepenuhnya ke atas tapak suci tersebut. Selain Masjid al-Aqsa dan Masjid Ibrahimi, tentera haram Israel juga dilaporkan menyerbu Masjid Jawhar dan Masjid Al-Shuhada di al-Khalil.


Sumber: QNN

Written by
Admin
Published on
February 3, 2026