.png)
Sebuah laporan pertubuhan hak asasi Israel, Breaking the Silence menyebut berkenaan mekanisme yang digunakan tentera Israel untuk menyusun semula naratif selepas melancarkan serangan berdarah di semenanjung Gaza, termasuk usaha mewajarkan tindakan dan operasi ketenteraan yang mengakibatkan korban dalam kalangan orang awam.
Menurut seorang anggota tentera yang memberikan keterangan kepada pertubuhan tersebut, apabila sesuatu operasi mencetuskan kritikan hebat atau jumlah korbannya sukar untuk dijustifikasikan, pihak rejim akan cuba memberikan penjelasan baharu mengenai sasaran atau mengaitkan para syuhada dan mangsa yang tercedera dengan unsur-unsur bahawa HAMAS berada di tempat kejadian.
Menurut keterangan itu, langkah tersebut bertujuan mengukuhkan naratif bahawa serangan berkenaan mempunyai justifikasi ketenteraan, sekali gus menjadikan tindakan tentera rejim itu lebih mudah diterima oleh masyarakat antarabangsa.
Keterangan itu muncul susulan serangan rejim Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Yunis pada 25 Ogos 2025, yang mengorbankan 22 orang, termasuk lima wartawan.
Tentera rejim ketika itu mendakwa kamera yang menjadi sasaran merupakan kamera yang digunakan HAMAS untuk mengawasi pergerakan tenteranya dan menjadi ancaman kepada mereka. Mereka turut cuba untuk melabelkan wartawan yang syahid di lokasi kejadian sebagai ‘pengganas’.
Namun, laporan dan siasatan berikutnya menimbulkan persoalan terhadap dakwaan tersebut. Associated Press melaporkan bahawa seorang anggota tentera Israel yang memberikan keterangan mendakwa bahawa tentera mereka tidak mempunyai bukti bahawa kamera berkenaan mempunyai kaitan dengan HAMAS.
Dalam kes tersebut, tentera rejim kemudiannya turut mendakwa enam daripada mereka yang terbunuh mempunyai kaitan dengan HAMAS, walaupun bukti terperinci mengenai dakwaan itu tidak diberikan. Menurut keterangan anggota tentera tersebut, proses mengaitkan mangsa dengan HAMAS dilakukan selepas serangan sebagai usaha untuk mempertahankan tindakan tentera di mata dunia.
Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre, AP News