Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Tentera Israel melanggar perjanjian gencatan senjata apabila menembak dan membunuh orang awam Palestin di Gaza yang melintasi garisan sempadan yang tidak diketahui kewujudannya.


Breaking The Silence, sebuah kumpulan hak asasi manusia yang ditubuhkan oleh veteran angkatan tentera Israel telah mengecam tindakan tentera rejim tersebut kerana menembak orang awam di Gaza atas alasan melintasi garisan kuning di kawasan belakang lokasi pengunduran tentera Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.


Kumpulan itu, yang memantau penyalahgunaan kuasa terhadap rakyat Palestin di wilayah yang dijajah, mengatakan bahawa orang awam di Gaza telah ditembak dan dibunuh kerana melintasi garisan yang mereka tidak sedari kewujudannya.


“Mari kita jelaskan; garisan itu hanya wujud di atas peta, bukan di atas tanah. Sesiapa yang memasuki ‘zon larangan ’ secara automatik dijatuhi hukuman mati,” kata kumpulan itu dalam satu hantaran di media sosial.


Puluhan orang awam Palestin telah terbunuh di seluruh semenanjung Gaza sejak gencatan senjata mula berkuat kuasa pada Jumaat lalu.


Serangan-serangan ini merupakan pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata yang dengan jelas menetapkan bahawa semua operasi ketenteraan, termasuk serangan udara, artileri dan penyasaran, akan digantung sepenuhnya.


Dalam beberapa kes, tentera Israel mengesahkan bahawa mereka melancarkan serangan itu dengan alasan menyasarkan individu yang didakwa melintasi garisan penempatan semula tentera yang dipersetujui.


Jurucakap HAMAS, Hazem Qassem mengecam serangan itu, menyifatkannya sebagai pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata.


“Pembunuhan beberapa penduduk Gaza oleh tentera Israel pagi ini melalui serangan peluru berpandu dan tembakan adalah satu pelanggaran jelas terhadap gencatan senjata,” kata Qassem dalam satu kenyataan.


Beliau menyeru pihak antarabangsa menuntut Israel bertanggungjawab dan memastikan negara haram itu mematuhi komitmen yang telah dibuat kepada para pengantara berhubung penghentian permusuhan di semenanjung Gaza.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
October 17, 2025