Puluhan ribu penduduk Palestin sedang mengosongkan Kem Pelarian Jabalia dan kawasan sekitarnya ketika tentera rejim Zionis masih aktif menceroboh ke kawasan padat penduduk di utara Gaza itu.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Louise Wateridge menjelaskan bahawa berpuluh-puluh ribu orang telah dipindahkan dari kawasan utara ketika Israel melancarkan serangan darat baharu.
Pada Rabu, Pejabat Media Kerajaan Gaza memberitahu sekurang-kurangnya 770 rakyat Palestin telah dibunuh dan lebih 1,000 orang cedera di utara Gaza sejak 4 Oktober 2024 ekoran serangan darat berskala besar di kawasan Jabalia. Difahamkan Zionis melancarkan serangan itu dengan tujuan untuk menghalang pasukan mujahidin daripada berkumpul semula.
Sebelum ini, rejim Zionis telah mengeluarkan arahan pindah kepada seluruh penduduk di kawasan Jabalia, Beit Hanoun dan Beit Lahia di utara Gaza pada 7 Oktober 2024. Rejim Zionis menggesa penduduk Palestin di kawasan itu untuk bergerak ke bahagian selatan Semenanjung Gaza yang menempatkan kem kemanusiaan di Al-Mawasi. Pun begitu, kawasan itu juga telah diserang rejim Zionis pada September lalu. Sementara itu, satu-satunya trak bomba di utara Gaza telah dibom rejim Zionis pada malam tadi waktu Malaysia.
Sumber: The Monitor