
Tentera Israel melancarkan satu lagi serangan rentas sempadan ke atas selatan Syria pada Selasa dan meletupkan sebuah pos ketenteraan terbengkalai. Serangan tersebut berlaku walaupun sebelum ini Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa supaya tindakan berhemah diambil.
Menurut saluran TV kerajaan Syria, al-Ikhbariya, dua buah kereta kebal milik tentera Israel bersama 10 kenderaan tentera telah menceroboh masuk ke kampung Samdaniya al-Sharqiya di kawasan luar bandar Quneitra, selatan negara itu.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak tentera rejim atau pihak berkuasa Syria mengenai laporan berkenaan.
Pencerobohan terbaharu itu berlaku kurang sehari selepas tentera rejim melakukan serangan ke atas dua buah kampung di Quneitra pada Isnin, meneruskan rentetan siri serangan hampir setiap hari di selatan Syria sejak beberapa bulan lalu.
Pada hari yang sama, Trump menggesa agar semua pihak bertenang.
“Adalah sangat penting bagi Israel mengekalkan dialog yang kukuh dan jujur dengan Syria, serta memastikan tiada tindakan yang menghalang usaha Syria untuk berkembang menjadi sebuah negara yang makmur,” katanya.
Trump turut memuji Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa sambil menyatakan bahawa beliau bertindak dengan tekun demi memastikan perkara-perkara baik dapat dicapai bagi kedua-dua negara.
“Ini adalah peluang bersejarah untuk keamanan di Timur Tengah,” tambahnya.
Data rasmi kerajaan Syria menunjukkan bahawa sejak Disember 2024, rejim Israel telah melancarkan lebih 1,000 serangan udara ke atas Syria dan lebih 400 serangan rentas sempadan ke atas wilayah selatan negara itu.
Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada akhir 2024, rejim Israel telah memperluaskan pendudukan di Dataran Tinggi Golan dengan merampas zon penampan yang dinyahmilitarikan. Sebagai rekod, tindakan tersebut merupakan pelanggaran perjanjian 1974 antara kedua-dua negara.
Sumber: Anadolu Ajansi