Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Tentera haram Israel melaporkan bahawa mereka telah mengesan dan membawa keluar mayat tawanan Israel yang terakhir di semenanjung Gaza.


Dalam satu kenyataan, jasad Sarjan Kelas Pertama Ran Gvili telah dikenal pasti dan akan dibawa pulang untuk tujuan pengebumian.


“Dengan ini, semua tawanan telah dibawa pulang dari semenanjung Gaza,” tambah kenyataan itu.


Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata pada Ahad bahawa kerajaan haram Israel akan membuka semula pintu sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir selepas kepulangan jenazah Gvili.


Sementara itu, HAMAS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya atas dasar tanggungjawab nasional dan komitmen terhadap persetujuan yang dicapai telah menggerakkan usaha berterusan bagi menjejaki jenazah tawanan terakhir tersebut. Usaha tersebut turut disertai penyampaian maklumat secara konsisten kepada pihak perantara sekali gus menyumbang kepada penemuan semula mayat berkenaan.


HAMAS menambah bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen penuh pihak pejuang terhadap keperluan fasa pertama perjanjian gencatan senjata, di mana semua kewajipan telah ditunaikan dengan jelas dan bertanggungjawab.


HAMAS turut menggesa rejim haram Israel supaya melengkapkan pelaksanaan penuh perjanjian gencatan senjata tanpa pengurangan atau kelewatan serta mematuhi semua kewajipan yang terhasil daripadanya, khususnya pembukaan pintu sempadan Rafah di kedua-dua arah tanpa sekatan.


Mereka turut menegaskan keperluan membenarkan kemasukan keperluan asas penduduk Gaza dalam jumlah mencukupi, menarik balik sebarang sekatan, melaksanakan pengunduran penuh dari emenanjung Gaza serta memudahkan tugas Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG).


Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Israel telah mengaitkan pembukaan semula bahagian Palestin di pintu sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir dengan penemuan semula jenazah tawanan terakhirnya dari Gaza. Tel Aviv menguasai pintu sempadan tersebut sejak Mei 2024 dan telah mengetatkan sekatan ke atas rakyat Palestin di Gaza.


Sebelum ini, gerakan tersebut telah menyerahkan 20 tawanan Israel yang masih hidup serta mayat 27 tawanan yang lain kepada Israel sejak bermulanya fasa pertama perjanjian gencatan senjata pada 10 Oktober 2025.



Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
January 27, 2026