
Pasukan tentera rejim Israel sekali lagi melancarkan serbuan terbaharu pada Rabu ke atas kawasan luar bandar selatan Quneitra, Syria, sekali gus mencetuskan satu lagi dakwaan pelanggaran terhadap kedaulatan negara itu.
Menurut laporan stesen televisyen Saudi, Al-Ekhbariya, pasukan yang terdiri daripada kira-kira 60 anggota tentera bersama 15 kenderaan tentera melepaskan suar sebelum memasuki Kampung Ufania di utara Quneitra.
Serbuan itu berlaku sehari selepas insiden serupa pada Selasa, apabila tentera rejim Israel menahan seorang pemuda yang sedang menggembala kambing di selatan Quneitra.
Menurut agensi berita SANA, satu unit tentera rejim Israel yang terdiri daripada dua kenderaan dilaporkan telah memasuki kawasan berkenaan melalui bandar selatan Bir Ajam sebelum mara ke arah kampung Bariqa.
Sejak kebelakangan ini, tentera Israel dilaporkan melancarkan operasi pencerobohan ke wilayah Syria, hampir setiap hari khususnya di sekitar Quneitra. Operasi tersebut termasuk menahan orang awam, melakukan sekatan jalan raya, memeriksa dan menyoal individu yang melalui kawasan berkenaan, selain memusnahkan tanah pertanian.
Pencerobohan terbaharu itu berlaku meskipun satu perjanjian telah dicapai awal bulan ini antara Syria dan Israel bagi mewujudkan mekanisme komunikasi yang diselia oleh Amerika Syarikat (AS), yang bertujuan mengurangkan ketegangan ketenteraan dan memudahkan penyelarasan. Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan tiga pihak susulan rundingan yang diadakan di Paris.
Susulan kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada penghujung 2024, rejim Israel dilaporkan telah memperluas penguasaannya di Bukit Golan, Syria dengan mengambil alih zon penampan bebas tentera — tindakan yang didakwa melanggar Perjanjian Pemisahan 1974.
Warga Syria menyifatkan tindakan berterusan itu sebagai faktor yang menjejaskan usaha pemulihan kestabilan negara serta menyekat inisiatif kerajaan untuk menarik pelaburan bagi memperbaiki keadaan ekonomi.
Sumber: Anadolu Ajansi, TRT World