Seorang bekas tentera upahan warga Amerika Syarikat (AS), Anthony Aguilar, mengaku menyaksikan sendiri pasukan tentera Zionis dan kontraktor Amerika Syarikat (AS) melepaskan tembakan ke arah orang awam Palestin yang kelaparan tanpa sebarang ancaman di tapak agihan bantuan yang dikendali oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF).
“Secara terus terang, saya anggap ini sebagai jenayah. Saya saksikan sendiri anggota Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menembak orang awam Palestin. Saya lihat IDF menembak peluru berpandu anti-kereta kebal ke arah kereta orang awam yang mahu beredar dari kawasan tersebut. Saya juga menyaksikan sendiri tembakan mortar dilepaskan ke arah orang ramai bagi mengawal mereka,” katanya dalam satu temu bual bersama wartawan British Broadcasting Corporation (BBC).
Beliau menggambarkan sistem bantuan GHF yang ditaja oleh AS dan Israel sebagai tidak profesional, dengan operasi yang tidak terlatih dan tidak layak untuk mengendalikan bantuan berskala besar.
Dalam satu lagi temu bual bersama UNXeptable, beliau menyatakan bahawa sistem GHF dirancang untuk memperlakukan orang awam seperti haiwan, tanpa nilai kemanusiaan.
“Mereka dilayan lebih buruk daripada pejuang ISIS di Baghuz Fawqani, Syria,” tambahnya lagi.
Beliau turut berkongsi kisah seorang budak lelaki bernama Ameer yang berlaku pada 28 Mei lalu di tapak bantuan nombor 2:
“Selepas bantuan diagihkan dan orang ramai mula beredar. Kami menghampiri Ameer. Dia tidak memakai kasut dan pakainnya hampir terlucut kerana tubuhnya terlalu kurus. Dia mencium tangan saya dan ucap terima kasih.”
“Dia bukan pejuang HAMAS. Dia hanyalah seorang budak yang kelaparan dan berjalan sejauh 12 kilometer untuk sampai ke situ. Dia mengutip barangan bantuannya dan menyertai semula orang ramai. Kemudian, dia diserang dengan semburan lada, gas pemedih mata, bom kilat, dan peluru… dia lari ketakutan… IDF melepaskan tembakan ke arah orang ramai… Ameer salah seorang daripada mereka yang terkena tembakan… dia mati,” tambahnya lagi.
Menurutnya, insiden seperti itu berlaku setiap hari. Beliau menegaskan bahawa jenayah ini berlaku bukan semata-mata kerana kezaliman tentera IDF, tetapi kerana kegagalan kepimpinan dan pihak yang bertanggungjawab meletakkan tapak agihan bantuan itu di lokasi berbahaya.
“Sistem bantuan GHF ini perlu dihentikan,” tegasnya lagi.
Sumber: Quds News Network