
Tentera Zionis hari ini mengumumkan melalui kenyataan bersama dengan Shin Bet dan polis sempadan bahawa mereka telah memulakan operasi ketenteraan berskala besar di kawasan utara Tebing Barat.
Menurut wartawan Anadolu, pasukan itu turut menambah kekuatan secara besar-besaran di wilayah Tubas, utara Tebing Barat, serta mengerah jentolak tentera ke beberapa kawasan. Pada masa yang sama, helikopter Israel melepaskan tembakan ke arah sasaran yang belum dikenal pasti.
“Ini merupakan kali pertama dalam beberapa tahun helikopter Apache terlibat dalam operasi seperti ini, melepaskan tembakan mesingan berat ke arah kawasan perumahan,” kata Gabenor Tubas, Ahmad Al-Asaad, dalam satu kenyataan di platform Facebook.
Operasi berkenaan turut menyasarkan bandar Tubas serta pekan Aqaba dan Tammun.
Bukan sahaja itu, pihak penjajah turut mengenakan perintah berkurung dan menutup semua pintu masuk ke wilayah itu dengan benteng serta sekatan jalan raya turut dilaksanakan. Pergerakan ambulans dan pasukan perubatan turut disekat, kata Asaad.
Beberapa rumah di Tammun, Tubas, al-Far’a dan Tayasi turut diceroboh pihak penjajah dan mereka menjadikan sebahagian besar daripadanya sebagai pos tentera, tambah Asaad.
Tentera Israel dalam kenyataan pada Rabu berkata pasukannya mula beroperasi sejak malam sebelumnya bersama Shin Bet dan pasukan polis, dengan mendakwa operasi itu adalah sebahagian daripada usaha ‘memerangi keganasan’ di kawasan tersebut.
Sumber: Anadolu Ajansi, Roya News