Pengarah Perancangan UNRWA, Sam Rose mendedahkan bahawa kira-kira 39,000 pelajar di Gaza tidak dapat menduduki Peperiksaan Sekolah Menengah Am yang dikenali sebagai Tawjihi.
"Ia adalah satu lagi episod kesedihan yang dialami oleh penduduk," katanya. Jelasnya lagi, bermula pada hari ini, para pelajar sepatutnya mula membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan.
"Selama lebih lapan bulan, lebih daripada setengah juta pelajar Gaza keciciran di dalam pendidikan. Pun begitu, saya berpendapat penting untuk kita memberi tumpuan kepada mereka yang tidak dapat menduduki peperiksaan pada hari ini agar mereka dapat peluang itu," katanya.
Rose turut memaklumkan bahawa tiada kemudahan yang mampu menampung pelajar untuk peperiksaan tersebut di Gaza.
"Kami (UNRWA) mempunyai kira-kira 300 sekolah di Gaza. Hampir dua pertiga daripadanya telah rosak atau musnah," katanya dengan menambah bahawa sekolah-sekolah yang tidak musnah sedang digunakan sebagai penempatan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal.
"Malangnya, tempat-tempat ini kita tahu bahawa ia tidak sentiasa selamat. Rekod menunjukkan seramai 500 orang telah terbunuh di dalam serangan rejim Israel ke atas sekolah-sekolah UNRWA."
Sumber: Al Jazeera