.png)
Penulis akhbar The Guardian, Nesrine Malik menyatakan bahawa skala pencabulan hak asasi, penyeksaan terhadap tahanan Palestin serta kematian yang berlaku di dalam penjara rejim Israel amat besar dan telah didokumentasikan secara meluas. Namun, menurut beliau, beberapa gambar yang muncul dari semasa ke semasa terus mengingatkan dunia kepada kekejaman yang pernah berlaku di Penjara Abu Ghraib yang dikendalikan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq.
Malik merujuk kepada sekeping gambar yang dimuat naik oleh seorang anggota tentera rejim Israel pada bulan ini, yang memaparkan seorang tahanan dari Gaza dalam keadaan meniarap selepas sebahagian besar pakaiannya dilucutkan. Mangsa turut diikat dengan tali pada papan dan batang besi.
Menurut beliau, imej itu mengembalikan simbolik penyeksaan di Abu Ghraib, bukan sahaja kerana cara tahanan tersebut dilayan, malah disebabkan kapsyen yang ditulis oleh anggota tentera itu iaitu "Selamat pagi", yang mencerminkan unsur penghinaan serta layanan terhadap tahanan seolah-olah mereka adalah ‘trofi perang’ untuk dibanggakan.
Beliau turut menyentuh mengenai kenyataan doktor Palestin, Dr. Hussam Abu Safiya, ketika pertemuan terakhirnya dengan peguam pada awal bulan ini. Dr. Hussam dilaporkan berkata, "Inilah pengakhirannya. Saya tidak melihat diri saya akan terus hidup." Kenyataan itu dibuat selepas beliau dipindahkan ke Penjara Rakefet, sebuah pusat tahanan bawah tanah yang pada asalnya dibina untuk menempatkan anggota kanan jenayah terancang.
Penjara tersebut pernah ditutup selepas diklasifikasikan sebagai kemudahan yang ‘tidak berperikemanusiaan’, sebelum dibuka semula oleh Menteri Keselamatan wilayah haram rejim Israel, Itamar Ben Gvir pada penghujung tahun 2023.
Malik turut menjelaskan bahawa kira-kira 3,500 tahanan Palestin kini ditahan di penjara rejim Israel di bawah sistem tahanan pentadbiran, termasuk sekitar 200 kanak-kanak. Menurut beliau, individu yang ditahan di bawah sistem ini pada hakikatnya menjadi ‘mangsa penculikan’, kerana mereka ditahan tanpa pertuduhan dan tanpa melalui proses perbicaraan.
Beliau juga membangkitkan dasar rejim Israel yang terus menahan jenazah para syuhada Palestin. Sebahagian jenazah dikebumikan di ‘Perkuburan Nombor’ yang terletak dalam kawasan tentera tertutup, manakala sebahagian lagi disimpan di dalam peti sejuk mayat. Tambah beliau, kira-kira 100 rakyat Palestin yang jenazahnya masih ditahan, meninggal dunia ketika berada dalam tahanan rejim Israel, namun punca kematian mereka tidak pernah didedahkan.
Dalam artikelnya, Malik turut memberi perhatian kepada isu individu yang hilang selepas ditahan oleh rejim Israel, tanpa sebarang pengakuan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai keberadaan mereka yang mana kebanyakan daripada mereka terdiri daripada wartawan, doktor dan anggota institusi masyarakat sivil, iaitu golongan yang menjadi tunjang kepada sesebuah masyarakat. Menurut beliau, sasaran rejim Israel adalah untuk memusnahkan struktur sosial rakyat Palestin serta menyampaikan mesej yang menafikan kewujudan Palestin dan rakyatnya. Perkara ini menimbulkan kekesalan dari pihaknya kerana segala pencabulan hak asasi ini terus berlaku di hadapan mata masyarakat antarabangsa.
Sumber: PALM Strategic Initiative Centre