Tiada Empati, Rejim Zionis Tembak Kanak-Kanak di Tebing Barat
Tanpa berfikir panjang, tentera Israel menembak mati Ali Hasan Ali Rabaya yang berusia 14 tahun. Pada masa yang sama, mereka turut mencederakan sekurang-kurangnya lima kanak-kanak Palestin lain, termasuk seorang kanak-kanak berusia 13 tahun yang cedera teruk selepas terkena tembakan di dada dan kakinya.
Pertubuhan hak asasi manusia, Defense for Children International menjelaskan bahawa Ali ditembak pada Khamis. Difahamkan rejim Zionis melepaskan tembakan dari dalam kenderaan berperisai pada jarak antara 20 hingga 40 meter (65 hingga 130 kaki) di kampung Maithaloun, selatan Jenin di Tebing Barat yang terjajah.
"Berpuluh tahun tanpa tindakan atau hukuman menyebabkan tentera Israel berani untuk menembak mati sesiapa sahaja tanpa sebab. Tindakan keji ini menunjukkan penghinaan terhadap nyawa kanak-kanak Palestin," ujar wakil pertubuhan itu.
Sumber: Al Jazeera