Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Tentera rejim Israel dilaporkan menulis nombor pengenalan pada dahi dan tubuh rakyat Palestin yang ditahan ketika serbuan besar-besaran di Qabatiyah, selatan Jenin, Tebing Barat yang diduduki.


Pasukan rejim itu menyerbu kira-kira 100 bangunan di kawasan tersebut pada Isnin dan menahan sejumlah besar rakyat Palestin untuk disoal siasat. Tentera rejim Israel mendakwa dua individu yang disyaki merancang serangan telah ditahan, namun sumber tempatan melaporkan bahawa jumlah tahanan sebenar dipercayai jauh lebih ramai.


Sebahagian rakyat Palestin yang dibebaskan selepas soal siasat dilihat mempunyai nombor yang ditulis menggunakan pen dakwat kekal berwarna hitam pada muka atau tubuh mereka.


Rakaman yang tersebar menunjukkan nombor 44 terlihat jelas pada dahi seorang penduduk Qabatiyah, Ahmed Hatnawi. Hatnawi berkata terdapat kira-kira 50 orang berada di rumah tempat mereka ditahan dan mendakwa mereka dilayan dengan sangat  kejam.


Menurutnya, tindakan menulis nombor tersebut merupakan satu bentuk penghinaan terhadap rakyat Palestin yang ditahan.


Ahli Parlimen Knesset rejim Israel berketurunan Palestin, Ahmad Tibi mengutuk tindakan itu dan menyifatkannya sebagai satu bentuk gambaran jelas proses penafian hak manusia rakyat Palestin dengan menghapuskan identiti mereka dan menggantikannya dengan nombor.


Tibi berkata gambar-gambar tersebut amat mengejutkan dan mengingatkan kepada tempoh gelap dalam sejarah, sambil menegaskan bahawa tindakan sedemikian sepatutnya mendapat kecaman.


Tentera rejim Israel kemudiannya mengakui bahawa pasukannya memang ada melakukan tindakan tersebut iaitu menandakan rakyat Palestin yang ditahan dalam operasi di Qabatiyah dengan nombor pengenalan sebelum disoal siasat. Bagaimanapun, pihak rejim tidak mempertikaikan bahawa nombor tersebut ditulis secara langsung pada tubuh tahanan.


Perkara sedemikian juga pernah dilakukan sebelum ini. Pada April lalu, tentera rejim Israel dilaporkan menulis nombor pengenalan pada tangan puluhan wanita Palestin yang memasuki Kem Pelarian Jenin.


Perkembangan itu mencetuskan kecaman terhadap layanan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin yang ditahan serta menimbulkan persoalan mengenai kaedah yang digunakan tentera rejim Israel ketika menjalankan operasi ketenteraan di Tebing Barat.


Sumber: The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
August 20, 2026