Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pihak berkuasa rejim Israel menggesa tiga projek penempatan baharu di Baitul Maqdis yang diduduki dalam tempoh beberapa minggu, melibatkan lebih 3,400 unit penempatan. Langkah tersebut dibuat kurang tiga bulan sebelum pilihan raya rejim Israel.


Menurut laporan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di wilayah haram Israel, Ir Amim, usaha mempercepatkan ketiga-tiga rancangan itu pada ketika ini dilihat sebagai usaha mewujudkan realiti baharu di lapangan, yang akan menyukarkan kerajaan haram Israel akan datang untuk membatalkan atau mengubah projek penempatan tersebut. 


Dalam tempoh sebulan lalu, Jawatankuasa Perancangan dan Pembinaan daerah Baitul Maqdis mengemukakan rancangan untuk membina penempatan baharu yang merangkumi kira-kira 650 unit penempatan di Umm Tuba.


Jawatankuasa itu turut meluluskan pengemukaan satu lagi rancangan yang melibatkan kira-kira 450 unit penempatan di tengah-tengah Umm Lison, selain mengemukakan rancangan untuk memperluas penempatan Gilo dengan lebih 2,300 unit.


Menurut Ir Amim, perkembangan tersebut berpotensi memecah-belahkan kawasan kejiranan Palestin di Baitul Maqdis yang diduduki, sekaligus mengukuhkan kawalan rejim ke atas bandar itu serta menyukarkan sebarang penyelesaian politik pada masa hadapan.


Pertubuhan tersebut turut menyatakan bahawa pihak berkuasa rejim Israel mengenakan sekatan terhadap pembinaan oleh rakyat Palestin dan lazimnya tidak membenarkan bangunan melebihi empat tingkat. Bagaimanapun, rancangan penempatan baharu itu membolehkan pembinaan bangunan setinggi 14 tingkat.


Pertubuhan itu menjelaskan bahawa projek-projek penempatan berkenaan akan dibangunkan di atas tanah rampasan pemilik Palestin.


Menurut Aviv Tatarzky, penyelidik di Ir Amim, perkembangan tersebut bukan sekadar melibatkan beberapa keputusan perancangan yang berasingan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada dasar menyeluruh yang dilaksanakan secara terancang dan pada masa yang ditetapkan.


Beliau berkata dasar itu bertujuan mewujudkan realiti baharu di lapangan yang akan mengubah landskap bandar tersebut serta memperkukuh pemisahannya daripada Tebing Barat.


Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre

Written by
Admin
Published on
August 11, 2026