Platform TikTok telah melantik seorang warga Yahudi Amerika, Erica Mindel yang juga merupakan bekas anggota tentera Israel sebagai Pengurus Dasar Awam baharu yang bertanggungjawab terhadap isu ujaran kebencian di platform tersebut.
Berdasarkan profil LinkedIn beliau, Mindel menyandang jawatan tersebut pada Julai 2025. Tanggungjawabnya merangkumi merangka dasar TikTok berkaitan isu ujaran kebencian, memantau kandungan, mengurus strategi jangka panjang, serta bertindak sebagai pakar rujukan utama platform itu dalam isu antisemitisme.
Deskripsi kerjanya termasuk menganalisis trend ujaran kebencian, khususnya kandungan antisemitik, serta mewakili pendirian dasar TikTok dalam pelbagai forum dalaman dan luaran.
Sebelum menyertai TikTok, Mindel berkhidmat sebagai kontraktor di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dari 2022 hingga 2025 yang bertanggungjawab membantu Duta Khas Pentadbiran Presiden Biden bagi Memantau dan Membanteras Antisemitisme, Deborah Lipstadt.
“Pada bulan pertama saya di universiti, satu usul boikot, pelupusan dan sekatan (BDS) telah dibawa dan saya bertekad sepenuhnya untuk menentangnya,” katanya.
Mengimbas serangan Israel ke atas Gaza pada 2014 yang dikenali sebagai Operation Protective Edge, Mindel berkata: “Saya sedar bahawa kebajikan masyarakat Yahudi di seluruh dunia dan keselamatan Israel akan menjadi isu penting sepanjang hidup saya.”
Pada Mac 2024, Eric Fingerhut, Ketua Persekutuan Yahudi Amerika Utara, menyatakan bahawa platform tersebut telah menyumbang kepada lonjakan ketara dalam insiden antisemitisme, yang menurutnya dirasai oleh komuniti mereka setiap hari. Beliau turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas.
Sumber: The New Arab