Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Satu tinjauan yang diterbitkan pada Khamis mendapati majoriti rakyat haram Israel tidak percaya bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, akan melindungi kepentingan wilayah haram itu dalam rundingan perjanjian dengan Iran. Hanya sebilangan kecil sahaja berpendapat rejim Israel memenangi perang dengan Iran.

Menurut laporan Saluran 12, majoriti responden turut berpandangan tindakan Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu, telah menjejaskan kepentingan rejim Israel dalam perjanjian AS-Iran. Dapatan itu menunjukkan perubahan ketara berbanding sokongan tinggi yang sebelum ini diberikan rakyat haram Israel terhadap Trump. Namun, kebimbangan kini semakin meningkat berhubung syarat-syarat Memorandum Persefahaman (MoU) AS-Iran yang dimeterai minggu ini.

Situasi tersebut turut dipengaruhi oleh kritikan terbuka yang disuarakan Trump dan Naib Presiden AS, JD Vance, terhadap pegawai rejim Israel sejak kebelakangan ini, sekali gus mencerminkan ketegangan dalam hubungan Washington–Tel Aviv.

Tinjauan saluran tersebut turut mendapati 52 peratus responden menyatakan tindakan Netanyahu telah menjejaskan kepentingan rejim Israel dalam perjanjian tersebut, manakala 24 peratus berpendapat ia membantu dan 24 peratus lagi tidak pasti.

Apabila ditanya mengenai tahap kepercayaan terhadap Trump dalam melindungi kepentingan wilayah haram Israel, 71 peratus responden menyatakan tidak percaya, 13 peratus percaya, manakala 16 peratus tidak pasti. Angka itu juga menunjukkan penurunan sokongan terhadap Trump berbanding minggu sebelumnya.

Mengenai penilaian terhadap pengakhiran konflik, 43 peratus responden berpendapat rejim Israel kalah, 41 peratus menyatakan perang berakhir tanpa keputusan jelas, manakala hanya 11 peratus percaya rejim itu mencapai kemenangan.

Soalan-soalan tersebut turut dimasukkan dalam tinjauan berkaitan pilihan raya umum wilayah haram Israel yang dijadualkan pada Oktober. Hasil kajian menunjukkan parti pembangkang Zionis berpotensi memperoleh lebih banyak kerusi berbanding blok parti kanan dan agama yang dipimpin Netanyahu, namun masih gagal mencapai majoriti 61 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump pada Khamis berkata dia berkemungkinan besar akan menyokong Netanyahu dalam pilihan raya akan datang, namun akan menilai terlebih dahulu calon lain yang bertanding. “Saya perlu lihat siapa yang bertanding, tetapi saya sangat menyukai Bibi. Saya berkemungkinan besar akan menyokongnya,” katanya dalam temu bual telefon bersama penyiar awam Israel, Kan.

Trump turut memuji Netanyahu dengan menyifatkannya sebagai pemimpin yang melakukan tugas yang sangat baik, namun perlu lebih rasional, dipercayai merujuk kepada operasi ketenteraan rejim Israel terhadap Hizbullah di Lubnan.

Sumber: The Times of Israel

Written by
Admin
Published on
June 19, 2026