Dalam satu panggilan telefon yang tegang selama 40 minit dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin yang lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan memberitahu Netanyahu bahawa dia mesti menamatkan perang di semenanjung Gaza secara kekal, menurut laporan televisyen Israel pada Selasa.
Trump dilaporkan memberitahu Netanyahu bahawa apa yang dikenali sebagai “Kerangka Witkoff,” yang mencadangkan gencatan senjata selama kira-kira 60 hari sebagai pertukaran untuk membebaskan sekitar separuh daripada tebusan yang ditahan oleh HAMAS adalah tidak mencukupi.
Netanyahu setakat ini enggan berunding mengenai Perjanjian Gencatan Senjata-Tebusan di Gaza yang akan menamatkan peperangan secara kekal kerana ia merupakan satu garis merah baginya dan parti-parti gabungan sayap kanan ekstremnya.
Presiden AS itu juga dilaporkan berkata kepada Netanyahu bahawa penamatan perang di Gaza akan membantu kedua-dua dalam rundingan nuklear yang sedang berlangsung dengan Iran serta perbincangan normalisasi hubungan dengan Arab Saudi.
Trump turut menolak sebarang serangan ke atas Iran kerana Rumah Putih sedang berusaha mengawal program nuklear Tehran sebagai pertukaran untuk pelepasan sekatan, menurut satu laporan.
Laporan oleh Saluran 12 dan penyiar awam Kan, Trump memberitahu media AS bahawa pihak Iran telah menjadi jauh lebih agresif dalam rundingan tersebut.
Saluran 12 juga melaporkan bahawa tidak akan ada perbincangan mengenai serangan terhadap Iran sehingga Trump menentukan bahawa rundingan nuklear itu telah gagal.
Saluran itu juga memetik dua sumber yang terlibat dengan panggilan telefon itu, mendakwa bahawa Netanyahu tidak menerima jawapan jelas daripada Trump sama ada AS akan memberi Israel lampu hijau untuk bertindak sendirian terhadap Iran atau Washington sendiri yang mahu mengambil bahagian atau mengetuai serangan.
Sumber: Times of Israel