Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menimbulkan persoalan baharu pada Ahad mengenai niat sebenar terhadap kepimpinan Iran, meskipun pegawai tinggi AS sebelum ini menafikan bahawa Washington sedang merancang perubahan rejim.
Trump menulis di platform media sosial miliknya,
“Tidak betul secara politik untuk menggunakan istilah ‘Perubahan Rejim’, tetapi jika rejim Iran sekarang gagal untuk MENJADIKAN IRAN HEBAT SEMULA (Make Iran Great Again), kenapa tidak berlaku perubahan rejim??? MIGA!!!”
Kenyataan ini dikeluarkan hanya beberapa jam selepas pegawai-pegawai AS menegaskan bahawa serangan ke atas tapak nuklear Iran bukan bertujuan untuk menggulingkan kerajaan Tehran. Dalam satu sidang media di Pentagon, Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth berkata,
“Misi ini bukan dan tidak pernah berkaitan dengan perubahan rejim.”
AS telah menyertai Israel pada Ahad dalam operasi mengebom fasiliti nuklear utama Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan. Ia menandakan hari ke-10 berturut-turut serangan terhadap Iran, diikuti dengan serangan balas harian Iran ke wilayah Israel.
Walaupun pegawai-pegawai AS menyeru Iran supaya tidak terus meningkatkan ketegangan dan mempertimbangkan semula rundingan, kenyataan Trump memberi isyarat bahawa terdapat motif politik yang lebih mendalam.
Dengan mengaitkan perubahan rejim kepada kegagalan Iran untuk ‘menjadikan Iran hebat semula,’ Trump kembali menghidupkan spekulasi tentang cita-cita lama AS di Asia Barat. Kenyataan tersebut juga seiring dengan desakan Israel untuk menggulingkan rejim Iran demi menjamin dan memperluas dominasinya di rantau itu.
Sumber: Quds News Network