
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Rabu bahawa fasa kedua bagi rancangannya mengenai pelan damai Gaza akan berlaku tidak lama lagi.
Ketika ditanya oleh wakil wartawan di Pejabat Oval, tentang bilakah fasa kedua itu akan bermula, Trump mengelak menjawab secara langsung dan hanya mengatakan bahawa segala-galanya sedang berjalan dengan baik.
“Mereka berdepan satu insiden hari ini dengan sebuah bom yang meletup, mencederakan beberapa orang dengan teruk dan mungkin membunuh sejumlah mereka,” katanya di Rumah Putih, merujuk kepada serangan rejim Israel di selatan semenanjung Gaza yang meragut sekurang-kurangnya lima nyawa rakyat Palestin lewat Rabu, sekali lagi melanggar perjanjian gencatan senjata antara rejim Israel dan HAMAS.
“Mereka beritahu saya ia baru sahaja berlaku. Tetapi (jangan risau) semuanya dalam keadaan terkawal dan sedang berjalan dengan baik. Timur Tengah berada dalam keadaan aman. Orang ramai tidak menyedarinya,” katanya.
Serangan itu berlaku sejurus selepas Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu mengancam untuk bertindak balas sewajarnya susulan kecederaan yang dialami beberapa orang askar rejim dalam pertempuran dengan pejuang Palestin di Rafah.
"Fasa kedua sedang berjalan. Ia akan berlaku tidak lama lagi," tambahnya.
Walau bagaimanapun, pada 14 Oktober, Trump telah mengisytiharkan bahawa fasa kedua telah pun bermula.
Tetapi rejim Israel dan HAMAS hanya menandatangani fasa pertama pelan damainya, yang merangkumi gencatan senjata awal, pengunduran Tentera Pendudukan Israel (IOF) di Gaza, pertukaran tebusan dan tahanan Palestin serta peruntukan bantuan kemanusiaan.
Tiada persetujuan yang sebenarnya dicapai mengenai fasa kedua, yang berkaitan dengan pengurusan Gaza selepas perang. Walaupun AS berjaya mendapatkan resolusi melalui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu untuk mewujudkan beberapa mekanisme yang diperlukan untuk itu berlaku, proses itu telah terhenti di tengah-tengah persoalan mengenai perlucutan senjata HAMAS, siapa yang akan menyertai Pasukan Penstabil Antarabangsa (ISF) yang bertujuan untuk mengamankan Gaza dan di mana projek pembinaan semula pertama akan bermula di semenanjung Gaza.
Sejak Oktober 2023, rejim Israel telah membunuh lebih daripada 70,000 rakyat, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan mencederakan hampir 171,000 yang lain dalam serangan di Gaza.
Sumber: Anadolu Ajansi, The Times of Israel