Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa menggesa Iran agar menyerah tanpa syarat, sambil memberi amaran bahawa kesabaran AS semakin tipis. Namun, beliau menegaskan bahawa Washington tidak berniat untuk membunuh pemimpin Iran ketika perang udara antara Israel dan Iran memasuki hari keenam.
Seorang pegawai tentera Israel berkata kira-kira 10 peluru berpandu balistik telah dilancarkan dari Iran ke arah Israel pada awal pagi Rabu dan kebanyakannya berjaya dipintas. Letupan turut kedengaran di ruang udara Tel Aviv dan Tehran serta bandar Karaj di barat Tehran, menurut laporan laman berita Iran.
Kenyataan Trump yang disampaikan melalui media sosial menunjukkan pendirian yang lebih agresif terhadap Iran ketika beliau mempertimbangkan sama ada untuk melibatkan AS secara rasmi dalam konflik ini.
“Kami tahu dengan tepat di mana Pemimpin Tertinggi itu bersembunyi. Kami tidak akan membunuhnya (buat masa ini)... tetapi kesabaran kami semakin tipis.” Tulisnya di laman Truth Social.
Tiga minit kemudian, beliau menulis, “SERAH TANPA SYARAT!”
Kenyataan Trump yang kadangkala bercanggah dan tidak konsisten mengenai konflik antara sekutu rapatnya, Israel dan musuh lama, Iran telah menambahkan lagi ketidaktentuan terhadap krisis ini.
Pada peringkat awal, arahan Trump agar 14 juta penduduk Tehran mengosongkan ibu negara mencetuskan gelombang panik dan kesesakan lalu lintas di seluruh bandar. Beliau kemudian menyatakan bahawa beliau mampu membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, namun memilih untuk tidak berbuat demikian buat masa ini. Pada malam hari kelima konflik, Trump sekali lagi mengugut Iran agar menyerah tanpa syarat
Ucapannya yang tidak konsisten itu adalah sesuatu yang tidak asing lagi bagi seorang presiden yang terkenal dengan pendekatan dasar luar yang tidak menentu.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memberi amaran bahawa Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei boleh menerima nasib yang sama seperti bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein yang digulingkan dalam serangan yang dipimpin AS dan dihukum gantung pada tahun 2006 selepas perbicaraan.
Trump turut berkata pada hari Isnin bahawa beliau mungkin akan menghantar Utusan AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff atau Naib Presiden, JD Vance untuk bertemu dengan pegawai Iran. Presiden itu menegaskan bahawa kepulangannya dari sidang kemuncak negara-negara G7 di Kanada tiada kaitan dengan usaha gencatan senjata sebaliknya sesuatu yang jauh lebih besar sedang dirancang.
AS kini menghantar lebih banyak pesawat pejuang ke Timur Tengah serta melanjutkan penempatan pesawat lain, menurut laporan Reuters.
Sumber: Reuters, Middle East Eye