
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengeluarkan amaran keras terhadap Iran, menyatakan bahawa pasukan AS boleh ‘menghapuskan’ seluruh negara itu hanya dalam satu malam.“Keseluruhan negara itu (Iran) boleh dihapuskan dalam satu malam, dan malam itu mungkin malam esok,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih pada Isnin semalam.
Trump menjanjikan serangan ke atas infrastruktur awam Iran jika Tehran tidak tunduk menjelang jam 8 malam waktu Timur AS (12 AM GMT) pada Selasa, dengan hampir tiada yang terkecuali daripada menjadi sasarannya.
Presiden AS itu berkata sebagai strategi memperhebat amaran kepada Tehran dalam konflik yang sedia berlangsung bahawa semua infrastruktur Iran bakal berdepan kemusnahan sekiranya tiada perjanjian dicapai.
“Kami ada satu rancangan berdasarkan kuasa ketenteraan kami, di mana setiap jambatan di Iran akan dimusnahkan menjelang tengah malam esok dan setiap loji janakuasa akan hancur, terbakar, meletup dan tidak akan digunakan lagi, jika tiada sebarang perjanjian dicapai,” kata Trump. “Jika serangan berlaku, ia akan mengambil masa 100 tahun lagi untuk mereka bina semula (negara).”
Trump menekankan peranan penting helikopter kecil AH-6 (Little Birds) dalam operasi menyelamat itu. “Kami membawa tiga helikopter ke sana, yang digunakan dengan sangat intensif dan tidak mungkin berjaya tanpa mereka,” katanya. “Helikopter ini sangat berkuasa, tetapi sangat kecil – jadi ia boleh masuk ke kawasan tertentu.” Dia juga mendedahkan bahawa tentera AS akan memusnahkan pesawat mereka sendiri daripada menanggung risiko dengan meninggalkannya di sana.
“Kami meletupkan pesawat lama. Kami memusnahkannya kerana ada peralatan di atas pesawat yang secara jujur, kami ingin ambil, tetapi saya rasa tidak berbaloi menghabiskan empat jam lagi semata untuk mengambilnya,” kata Trump. Akhirnya, anggota tentera itu berjaya diselamatkan menggunakan helikopter.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, berkata pada sidang media bahawa dalam tempoh 24 jam akan datang, AS dijangka akan melancarkan gelombang serangan paling besar terhadap Iran sejak konflik bermula dan jumlah serangan dijangka terus meningkat jika tiada persetujuan dicapai.
“Menurut arahan Presiden, hari ini akan menyaksikan jumlah serangan terbesar sejak hari pertama operasi ini,” kata Hegseth. Beliau menambah bahawa serangan tidak akan berhenti di situ, “Esok akan ada lebih banyak lagi daripada hari ini.”
Hegseth berkata Iran mempunyai pilihan dan menyeru rejim itu untuk memilih dengan bijak, kerana presiden mereka tidak mengucapkan kenyataan sedemikian sebagai gurauan. Trump mengakui wujudnya perbezaan pandangan dalam pasukannya mengenai rancangan ini sambil berkata, “Tidak semua bersetuju.
Apabila ditanya mengenai kesan AS yang menyasarkan infrastruktur awam di Iran, Trump berkata rakyat Iran bersedia menderita demi menebus kebebasan negara mereka. Beliau menambah bahawa AS telah menerima banyak maklumat risikan yang menunjukkan rakyat Iran menyeru agar serangan terus dilanjutkan ke atas kerajaan mereka.Trump menegaskan bahawa rakyat Amerika harus meletakkan kepercayaan terhadap dirinya dalam perang ini. “Saya ada perancangan terbaik,” katanya. “Tetapi saya tidak akan memberitahu apa rancangan saya.”
“Kita tidak boleh membiarkan Iran memiliki senjata nuklear,” kata Trump sebagai jawapan kepada soalan.
Presiden AS itu turut menegaskan bahawa dia sangat kecewa dengan negara NATO khususnya United Kingdom (UK) selepas rakan sekutu menolak permintaannya untuk menyertai misi Iran. “Mereka ada dua kapal pengangkut pesawat lama yang rosak,” katanya, menambah bahawa kapal British sudah hampir tidak berfungsi.
Trump memberi jawapan yang terhad ketika ditanya mengenai rundingan gencatan senjata atau pembukaan semula Selat Hormuz. “Saya tidak boleh bercakap mengenai gencatan senjata, tetapi saya akan katakan bahawa kami ada peserta aktif dan bersedia di pihak (Iran),” katanya. “Mereka ingin mencapai perjanjian. Saya tidak boleh berkata lebih daripada itu.”
Trump kemudian menamatkan kenyataannya dengan tempoh akhir yang tegas, “Secara asasnya, mereka hanya ada masa sehingga jam 8 malam esok, waktu Timur.”
Sumber: TRT World