Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan keyakinannya bahawa Israel dan Iran akan mencapai perjanjian damai tidak lama lagi ketika ketegangan serangan balas antara kedua-dua negara yang semakin memuncak. Beliau menulis di platform Truth Social menyatakan,
"Iran dan Israel sepatutnya membuat perjanjian, dan mereka akan lakukannya. Kita akan capai PERDAMAIAN, tidak lama lagi! Banyak pertemuan sedang berlaku sekarang..."
Pihak berkuasa Israel melaporkan bahawa daripada 270 peluru berpandu yang dilancarkan Iran dalam dua malam terakhir, sebanyak 22 berjaya menembusi sistem pertahanan anti-peluru berpandu mereka.
Trump, dalam nada yang lebih tegas, turut memberi amaran keras kepada Iran agar tidak melibatkan sasaran-sasaran Amerika dalam tindak balas mereka.
“Jika kami diserang dalam apa jua bentuk oleh Iran, seluruh kekuatan dan kehebatan tentera Amerika Syarikat akan menghujani kamu pada tahap yang belum pernah disaksikan dunia,”
katanya.
Walaupun beliau menafikan sebarang penglibatan AS dalam serangan Israel ke atas Iran, Trump tetap menyatakan bahawa perjanjian damai masih boleh dicapai, sekiranya Iran bersedia menerima syarat-syarat ketat berkaitan program nuklearnya.
Bagaimanapun, rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung pada hari Ahad telah dibatalkan selepas Tehran menegaskan mereka tidak akan berunding dalam keadaan negara mereka sedang diserang.
Sumber: Reuters, Anadolu Ajansi