Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di White House buat kali kedua dalam tempoh hanya 24 jam bagi membincangkan kemungkinan mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza. Pertemuan kali kedua ini berlangsung selama lebih sejam pada malam Selasa dalam suasana tertutup tanpa liputan media.
Pertemuan ini diadakan ketika serangan berterusan Israel di Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 95 rakyat Palestin dalam tempoh yang sama. Sebelum ini pada Isnin, Trump dan Netanyahu juga telah berbincang panjang semasa makan malam di White House sempena lawatan ketiga Netanyahu ke AS sejak Trump memulakan penggal keduanya pada Januari lalu.
Walau bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai hasil pertemuan tersebut tidak didedahkan. Wartawan Al Jazeera di Washington, Mike Hanna, melaporkan bahawa tiada maklumat jelas dikeluarkan — mesyuarat itu sangat tertutup dan pendek, menunjukkan mungkin wujud halangan tertentu bagi mencapai genjatan senjata itu.
Dalam perkembangan berkaitan, utusan khas Trump ke Timur Tengah, Steve Witkoff, menyatakan bahawa perjanjian gencatan senjata selama 60 hari di Gaza hampir tercapai. Menurutnya, hanya tinggal satu isu yang masih menjadi penghalang daripada empat isu asal dengan rancangan termasuk pembebasan 10 tebusan hidup dan penyerahan sembilan lagi yang telah meninggal dunia.
Namun begitu, Netanyahu menegaskan bahawa kempen ketenteraan Israel di Gaza belum selesai. Beliau berkata Israel masih perlu “menamatkan tugas” dengan membebaskan semua tebusan dan memusnahkan keupayaan ketenteraan serta kerajaan Hamas meskipun rundingan tentang gencatan senjata masih diteruskan.
Sementara itu, laporan dari Jordan menyebut bahawa Netanyahu sedang menghadapi tekanan besar daripada Trump untuk mencapai persetujuan mengenai Gaza. Pada masa yang sama, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz merancang untuk membina “bandar khemah” di Rafah bagi menempatkan kira-kira 600,000 rakyat Palestin sebelum memindahkan baki penduduk Gaza — sesuatu yang dikritik oleh pemerhati antarabangsa sebagai bakal menjadi jenayah kemanusiaan.
Sumber: Al-Jazeera