
Pada ahad lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata bahawa fasa kedua perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan perang di Gaza semakin hampir. Namun dia mengingatkan bahawa beberapa isu penting masih perlu diselesaikan, termasuk sama ada pasukan keselamatan multinasional akan dikerahkan.
Netanyahu menambah akan mengadakan perbincangan penting bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada akhir bulan ini mengenai cara memastikan fasa kedua rancangan itu dapat dicapai, serta langkah mengakhiri pemerintahan HAMAS di Gaza. Langkah yang dilihat masyarakat dunia sebagai cubaan rejim haram Israel untuk terus mengukuhkan kawalan ke atas wilayah Palestin. Gencatan senjata antara Israel dan HAMAS kini memasuki bulan kedua, walaupun pihak Zionis berulang kali melanggar perjanjian tersebut.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri pada November lalu melaporkan bahawa Trump telah menjemput Netanyahu ke Rumah Putih dalam masa terdekat, namun tarikh lawatan masih belum diumumkan.
“Saya rasa kami akan mengadakan perbincangan yang sangat penting pada akhir bulan ini tentang bagaimana memastikan fasa kedua ini dapat dicapai,” kata Netanyahu pada sidang media di Baitul Maqdis Barat dengan Canselor Jerman, Friedrich Merz.
Netanyahu berdepan pelbagai pertuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadapnya bersama-sama bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant pada November 2024 berhubung kekejaman di Gaza, di mana lebih 70,000 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh sejak Oktober 2023.
Sumber: Reuters, Anadolu Ajansi