Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan bahawa beliau tidak dapat menjamin gencatan senjata akan berkekalan di semenanjung Gaza.
Trump memberitahu wartawan di Pejabat Oval bahawa tiada jaminan gencatan senjata akan terus berkuat kuasa selamanya.
"Saya pernah melihat orang dianiaya. Tiada siapa yang pernah melihat perkara seperti itu. Tidak, saya tiada jaminan bahawa keamanan akan berlaku," katanya.
Trump akan menjadi tuan rumah kepada Netanyahu sempena lawatan rasmi pertama seorang pemimpin ke Rumah Putih sejak beliau memegang jawatan bulan lalu.
Sebelum berlepas ke AS, Netanyahu berkata beliau menangguhkan penghantaran pasukan perundingnya ke Qatar untuk rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza sehingga pertemuannya dengan Trump berlaku.
Fasa pertama perjanjian itu termasuk gencatan senjata selama enam minggu. Dalam tempoh itu, beberapa kumpulan tahanan Palestin dan tawanan Israel dibebaskan oleh Israel dan HAMAS.
Di bawah syarat gencatan senjata, fasa pertama boleh dilanjutkan selagi pihak Israel dan HAMAS meneruskan rundingan mereka untuk mencapai fasa kedua perjanjian itu. Semua tentera Israel yang masih berada di Semenanjung Gaza dijangka akan berundur dari Gaza dalam tempoh fasa kedua dan gencatan senjata sementara akan menjadi kekal.
Sumber: Anadolu, MEMO