Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Sekurang-kurangnya 19 rakyat Palestin terbunuh dalam siri serangan rejim Israel di seluruh Gaza pada Ahad, meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelan yang disifatkannya sebagai satu ‘langkah besar’ ke arah keamanan dan keselamatan di wilayah itu.

Menurut sumber perubatan, tiga sekeluarga terbunuh apabila sebuah apartmen di Menara al-Sousi di barat bandar Gaza dibom. Mangsa ialah Abdullah Abu Taif (33), isterinya yang sedang hamil, Abeer Anan (29) dan anak lelaki mereka yang berusia lima tahun. Manakala di al-Qarara, barat laut Khan Yunis, satu lagi serangan mengorbankan tiga ahli keluarga al-Hams, iaitu Mahmoud al-Hams (38), isterinya Fatima (37), dan anak perempuan mereka, manakala tiga lagi cedera.

Di tengah Gaza, pasangan suami isteri Kamu Abu Muailiq (68) dan Huda (59) terbunuh selepas kediaman mereka diserang berhampiran Deir al-Balah. Dalam insiden berasingan di kawasan sama, dua beradik turut terbunuh ketika menunggang motosikal. Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, angka korban pada Ahad merupakan yang tertinggi dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Sehari sebelumnya, tentera rejim Israel turut mengebom gudang ubat di Hospital al-Aqsa Martyrs di Deir al-Balah, memusnahkan dua kemudahan dan menyebabkan dua lagi rosak teruk.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Munir al-Bursh berkata kemusnahan itu menjadikan ubat-ubatan dan penyakit sebagai salah satu senjata perang yang digunakan oleh pihak rejim, sekali gus memburukkan lagi krisis kesihatan yang sedang dihadapi penduduk Gaza.

Wartawan al Jazeera melaporkan serangan tersebut berlaku hanya kira-kira 15 minit selepas arahan pemindahan dikeluarkan, mengakibatkan khemah-khemah penduduk yang dipindahkan turut rosak dan memaksa lebih ramai penduduk meninggalkan kawasan itu.

Wartawan al Jazeera melaporkan serangan tersebut berlaku hanya kira-kira 15 minit selepas arahan pemindahan dikeluarkan, mengakibatkan khemah-khemah penduduk yang dipindahkan turut rosak dan memaksa lebih ramai penduduk meninggalkan kawasan itu.

Dalam tempoh 48 jam lalu, pesawat pejuang rejim Israel dilaporkan melancarkan serangan ke atas pelbagai lokasi tanpa memberi amaran awal kepada penduduk. Kebanyakan sasaran terdiri daripada bangunan kediaman dan kawasan yang dipenuhi orang awam.

Serangan itu berlaku ketika Lembaga Keamanan (BOP) dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang diwujudkan di bawah pelan damai Gaza tajaan Washington mengumumkan bahawa HAMAS telah menerima pelan hala tuju bagi fasa seterusnya gencatan senjata. Bagaimanapun, rejim Israel belum memberikan persetujuan rasmi terhadap cadangan tersebut.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Perdana Menteri wilayah haram Israel, Doron Spielman berkata rejim Israel tidak akan mengundurkan tenteranya dari Gaza sebelum HAMAS melucutkan sepenuhnya senjata mereka. Israel turut dilaporkan menuntut jaminan supaya tenteranya dibenarkan meneruskan operasi ketenteraan di Gaza serta membantah peranan Qatar dan Turkiye dalam memantau pelaksanaan perjanjian.

Menurut HAMAS, rejim Israel sengaja memperhebat serangan bagi menggagalkan persefahaman yang dicapai bersama pengantara dan AS berhubung pelaksanaan gencatan senjata. Gerakan itu menggesa negara-negara pengantara dan penjamin perjanjian supaya memberi tekanan kepada rejim Israel agar menghentikan serangan serta mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui.


Sumber: al-Jazeera

Written by
Admin
Published on
August 3, 2026